HomeBeritaPresiden PAS dulu hina bukan Islam, sekarang mahu bersama - Ramanan

Presiden PAS dulu hina bukan Islam, sekarang mahu bersama – Ramanan

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R Ramanan mempersoalkan sikap ‘hipokrit’ Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menghina bukan Islam, sekarang mahu bersama demi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

”Saya memang tidak faham langsung dengan Presiden PAS ini. Beliau yang mula-mula hina, guris perasaan kemudian anda kata hendak letak calon bukan Islam untuk tarik lebih banyak pengundi bukan Melayu?

“Hari ini kamu tuduh kita, esok kamu puji kita. Janganlah keluarkan kenyataan retorik demi politik begitu, sebagai pemimpin parti Islam, anda perlu tunjuk teladan baik bukan ‘hipokrit’.

”Ramai terguris hati apabila PAS menyatakan secara terang-terangan ketika sambutan kemerdekaan bahawa golongan bukan Islam menjadi perosak ekonomi, terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

“Kini kamu puji pula demi hendak tarik undi bukan Islam untuk mengundi kamu dan beri kuasa supaya kamu boleh bercakap dengan lebih teruk dan mengguris hati? Sudahlah,” katanya yang mengulas artikel Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Hapuskan Pemberi Rasuah’.

Ramanan mendakwa artikel itu jelas menyebut golongan pemberi rasuah itu majoriti bukan Bumiputera.

Bagaimanapun ketika Muktamar Pas baru-baru ini pula, Abdul Hadi berkata, parti itu menggunakan pendekatan bijaksana untuk menarik pengundi bukan Islam khususnya mereka yang tidak berparti mengundi calon Islam.

Kata Ramanan lagi, PAS seperti sudah ‘hilang arah’ kerana banyak melontarkan pandangan dan kenyataan yang banyak seperti pusingan ‘U’, selain penuh perkauman.

“PAS tidak sama lagi selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang banyak bertoleransi dan masih menegakkan prinsip Islam tanpa mengurus hati mana-mana kaum. Semua senang dengan beliau.

“Rakyat bukan seperti dulu, kini sudah lebih memahami situasi politik dan tidak akan sesekali membiarkan mereka ditipu atau diperbodohkan lagi,” katanya.

Author

Pilihan Editor