HomeBeritaPerpaduan dalam laporan kewartawanan sukan perlu meluas, menonjol - SAM

Perpaduan dalam laporan kewartawanan sukan perlu meluas, menonjol – SAM

PETALING JAYA: Semangat perpaduan negara melalui laporan kewartawanan sukan perlu lebih meluas dan menonjol.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap melihat industri sukan pada sudut lebih meluas apabila membabitkan aspek perpaduan.

Ini kerana, sukan yang kurang popular juga perlu mendapat liputan tetapi dilaporkan dalam bentuk perpaduan.

“Kalau kita lihat, sukan sangat luas terutama sukan unity, tak kira di peringkat sekolah atau anak-anak kecil bermain bersama tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Ini satu benda perlu kita tonjolkan.

“Oleh sebab itu, dua kategori baharu diperkenalkan kali pertama pada program ini iaitu, Anugerah Perpaduan bagi kategori laporan media dan foto perpaduan mendapat sambutan menggalakkan.

“Jadi, kita akan cuba kembangkan kategori anugerah ini, yang lebih banyak menjurus kepada perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021, di sebuah hotel terkemuka di sini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ti Lian Ker serta Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff.

Pada majlis berkenaan, Anugerah Laporan Perpaduan Terbaik dinobatkan kepada Sayed Ismail Bin Mohd Marzauki & Abdul Rahman Khusaini dari TV3 dengan tajuk Demi Malaysia Azimat Yang Meresapi Jiwa Atlet manakala Anugerah Fotografi Perpaduan Terbaik dimenangi oleh Luqmanul Arif bin Abdul Karim dari CSN.

Mengulas lanjut, Norismadi berkata, SAM mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan anugerah perpaduan kali pertama itu dan ia akan diteruskan dalam program sama pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, hampir 200 penyertaan diterima bagi 17 anugerah kewartawanan membabitkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021, serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel, yang menawarkan hadiah wang tunai RM7,000.

Lapan kategori dipertandingkan adalah Laporan Berita Terbaik (media cetak), Laporan Berita Terbaik (media elektronik), Ulasan Berita Terbaik (media cetak), Ulasan Berita Terbaik (media elektronik), Laporan Khas Terbaik (terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik, serta Anugerah Perpaduan.

Selain itu, dua lagi kategori iaitu Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2020/2021 dijangka menjadi tumpuan bagi melihat siapakah atlet negara yang bakal dinobatkan sebagai pemenang.

Majlis anugerah itu menggabungkan dua edisi iaitu tahun 2020 dan 2021 dengan menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya bermula pada 1985 iaitu berjumlah RM109,000.

Author

Pilihan Editor