Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan Rabbani, Azadan mempersoalkan kemenangan lagu Thank You Allah nyanyian Datin Alyah dengan penampilan Cat Farish dan Ustaz Haris dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).
Menerusi Facebook miliknya, Azadan kemudiannya membuka ruang perbincangan mengenai gelaran penyanyi nasyid yang lebih sesuai dipegang oleh penggiat nasyid itu sendiri dan menyarankan agar ditambah satu lagi kategori baharu di dalam anugerah muzik itu.
“Lagu nasyid adalah lagu yang dinyanyikan oleh penggiat nasyid itu sendiri, manakala lagu yang berunsur nasihat dan ketuhanan yang dinyanyikan oleh penyanyi bukan penggiat nasyid, dikategorikan sebagai lagu ‘religi’ (keagamaan). Jadi, perlu tambah satu lagi kategori untuk acara di masa akan datang,” tulisnya.
Azadan menambah, isu ini sudah lama dibicarakan, namun tidak dibawa kepada perbincangan yang lebih serius.
“Lama dah isu ini diperbualkan di peringkat ‘bawah tikar’. Siapa setuju, boleh komen. Ini sekadar perkongsian untuk generasi nasyid akan datang. Kalau perlukan khidmat nasihat orang nasyid, Insya-Allah, saya sedia memberi kerjasama,” tulisnya lagi.