HomeHiburanKonsert Faztival Fazura cipta dua rekod Malaysia Book of Records

Konsert Faztival Fazura cipta dua rekod Malaysia Book of Records

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Konsert Faztival Fazura 2022 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil berjaya mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) walaupun kali pertama dianjurkan.

Rekod itu adalah The Largest ‘Tudung Fazura’ Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.

Penganjur konsert itu, Nur Fazura Sharifuddin yang mesra dengan panggilan Faz meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa terhadap konsert sulung Faztival itu.

“Melihat kepada sambutan yang diberikan, Fazura berharap untuk menjadikan Faztival Fazura sebagai acara tahunan anjuran syarikatnya.

“Saya juga berharap dapat membantu merancakkan industri hiburan tanah air dan kegiatan ekonomi industri hiliran yang lain seperti pelancongan dan Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) tempatan yang menerima kesan akibat pandemik COVID-19, selaras dengan aspirasi #MilikSemua,” katanya dalam satu kenyataan.

Serentak dengan penganjuran konsert tersebut, Fazura turut melancarkan produk terbaharu keluaran syarikatnya iaitu Fazura BeautyWater, minuman tanpa gula yang diperkaya dengan lycopene, untuk mencantikkan kulit secara semula jadi.

Konsert pertama Faztival Fazura membuka tirai kira-kira pada pukul 8.33 dengan alunan bacaan selawat oleh suaminya, pelakon Fattah Amin sebelum acara hiburan bermula.

M Nasir menjadi penyanyi pertama mengadakan persembahan di pentas itu dengan lagu Suatu Masa. Sewaktu beliau mendendangkan lagu tersebut, terpampang wajah arwah bapa Fazura, Sharifuddin Adnan (1956–2000) di skrin dengan kata-kata, “Missing you and loving you everyday”.
Kemudian diikuti dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mentera Semerah Padi, di mana Fattah selaku pemegang watak Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tampil mempamerkan aksi seni silat.

Selepas itu muncul pula Amir Masdi yang mendendangkan lagu Asmara, Esok dan Kau Sakiti sambil memetik gitar. Pentas kemudian diambil alih oleh Ratu Rock Ella dengan lagu Dua Insan Bercinta, medley Sembilu dan Retak serta Kesal.

Konsert yang dianjurkan dibawah jenama Fazura tersebut turut menghimpunkan penyanyi terkemuka tempatan yang lain seperti Datuk Awie, kumpulan Ruffedge, Ippo Hafiz dan Zizi Kirana.

Ahmad Dhani dan Mulan adalah dua artis Indonesia yang dijemput untuk membuat persembahan pada konsert tersebut. Mulan memilih lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi, Wonder Woman dan Sinaran.

Manakala Ahmad Dhani yang tampil bersama anggota Ahmad Band termasuk dua orang anaknya, Al dan Dul mendendangkan lagu OD, Distorsi, Sudah, Bidadari Kesunyian, Aku Cinta Kau dan Dia dan Madu Tiga.

Author

Pilihan Editor