KUALA LUMPUR: “Banyak ketawa dan gelak selepas menonton filem sekuel Abang Long Fadil 3,” ulas pelakon yang membintangi filem itu, Wak Doyok.
Beliau yang bernama Wohd Azwan Md Nor merumuskan bahawa filem sekuel Abang Long Fadil 3 lebih gempak, lebih komedi, lebih aksi dan lebih menghiburkan.
“Filem ini sedang ditayangkan di seluruh pawagam termasuk Singapura, saya sebagai penampilan khas.
“Kita semua sedia maklum selepas dua tahun pandemik, ada hilang kerja, hilang nyawa, hilang kehidupan asal sebelum PKP, semua masih stres. Bukan mudah untuk bangkit.
“Jadi filem-filem berbentuk hiburan ini pastinya dapat hilangkan stres di samping sedang memulihkan ekonomi, mengembalikan kehidupan di atas landasan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Dua penerbit filem pecah panggung Skop Productions dan Astro Shaw bekerjasama menghasilkan francais Abang Long Fadil 3 selepas mencipta kejayaan menerusi Abang Long Fadil 1 dan 2 yang menjadi fenomena.
Filem ini mengisahkan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi untuk menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu.
Abang Long Fadil 3 adalah idea asal dan diarahkan pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof.
Uniknya transisi francais Abang Long Fadil 3 ini penonton dapat lihat transisi berbeza dari dunia gangster ke dunia mafia kini konsep perisikan.
Berbalik kepada Wak Doyok, beliau mengakui ada dilamar produksi untuk sebuah drama namun kerana komitmen perniagaannya, beliau terpaksa menolak.
“Masa PKP banyak urusan perniagaan tertangguh, kini kita sedang bina kembangkan balik jadi memerlukan komitmen penuh.
“Antara yang sedang dalam fokus saya adalah pakaian, makanan, pewangi dan produk penjagaan lelaki,” katanya.