MOSCOW: Lebih 6.2 juta orang di Sri Lanka berdepan masalah kekurangan makanan, dan keadaan dijangka bertambah buruk melainkan masalah itu ditangani dengan bantuan sosial dan mekanisme sokongan sara hidup.
“Lebih 6.2 juta orang di Sri Lanka (28 peratus daripada penduduk) dianggarkan berdepan masalah kekurangan makanan manakala 66,000 orang lagi mengalami krisis makanan yang teruk,” menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Program Makanan Sedunia (WFP) pada Isnin dalam laporan yang dikeluarkan bersama.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa isu keselamatan makanan di negara itu “mungkin terus merosot didorong oleh kekurangan barangan import, kenaikan harga barangan, masalah peluang pekerjaan dan hasil tanaman yang berkurangan, lapor Sputnik.
PBB menjangkakan keadaan di Sri Lanka mungkin bertambah buruk pada Oktober 2022 hingga Februari 2023.
Kerajaan dan rakan kongsi harus menyediakan sokongan kepada rakyat melalui program bantuan makanan dan program sara hidup, menurut laporan itu.
Sri Lanka berdepan krisis ekonomi paling teruk sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada British pada 1948.
Situasi itu berpunca daripada kekurangan mata wang asing dan jumlah ketibaan pelancong asing merosot akibat pandemik COVID-19.
Pandemik itu juga telah memberi kesan negatif terhadap kiriman wang daripada warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara.
Negara itu turut berdepan isu kekurangan makanan dan keperluan asas yang teruk, termasuk bahan api dan gas. – BERNAMA