HomeBeritaLPT3: Kajian sudah siap, tunggu peruntukan - Fadillah Yusof

LPT3: Kajian sudah siap, tunggu peruntukan – Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah selesai peringkat kajian pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan kini sedang menunggu peruntukan untuk hala tuju seterusnya.

Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apa yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan untuk LPT3 adalah bagi membuat kajian.

“Ini kerana sebelum bina jalan kena buat kajian seperti kesan sosial impak dan sebagainya.

“Kajian sudah selesai dan sudah kemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Sekarang kami sedang tunggu apa hala tuju baru setelah kajian selesai dari segi peruntukan apabila nak bagi peruntukan dan sebagainya kita tunggu dari agensi pusat,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran 11th Malaysian Road Conference and Exhibition 2022 dan 4th International Road Federation Asia- Pacific Road Regional Congrese di Hotel Ancasa di sini.

Program ini akan diadakan pada 11 hingga 13 Oktober depan di WTC dihadiri oleh pengamal akademik, jurutera dan pelajar bidang berkaitan dalam berkongsi idea dan teknologi terbaharu untuk membangunkan jalan raya di negara ini.

Beliau mengulas gesaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang terhadap kerajaan agar mempercepatkan pelaksanaan LPT3 yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ini kerana, katanya, faktor mobilisasi rakyat di negeri Terengganu dan Kelantan perlu diambil kira supaya dapat memudahkan mereka dalam urusan harian.

Husain berkata, pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 minggu lepas, beliau telah menekankan peri pentingnya projek East Coast Economic Region (ECER) kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Seperti yang sedia maklum, projek pembinaan (LPT3) ini telah diluluskan pada tahun 2019 dan merangkumi jarak 150 km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.

Projek ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membangunkan negeri Pantai Timur dan sebahagian daripada Johor.

Tambah Fadillah, perlaksanaan ini kemungkinan akan masuk ke RMK akan datang atau RMK bergantung kemampuan kerajaan dan keutamaan setiap negeri.

“Setiap negeri ada senarai projek dan dari situ keutamaan peringkat negeri,” katanya.

Author

Pilihan Editor