KUALA LUMPUR: “Boleh buat keputusan dan menentukan hala tuju sendiri adalah erti kebebasan sebenar,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, selagi masih mengikut telunjuk orang dan takut membuat keputusan sendiri selagi itu diri masih belum bebas, belum ada pendirian.
“Tak tahu nak pilih yang mana, tak tahu apa hala tuju, tak tahu nak ikut siapa itu menunjukkan diri tiada prinsip dan tidak boleh memimpin diri sendiri jauh sekali orang lain.
“Kena tahu menilai sendiri semua perkara jangan ikut-ikut orang sahaja, kalau majoriti sokong kita pun sokong, itu salah kerana sokong juga boleh bawa rebah,” katanya ketika program tanam pokok sendiri di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Program itu adalah salah satu inisiatif keselamatan makanan agar rakyat merdeka daripada kelaparan walau apa jua impak ekonomi terhadap diri dan negara.
Mengulas mengenai semangat cinta negara yang luntur di kalangan generasi baru, Nazmi berkata apabila sudah lama kecapi kemerdekaan orang ramai mula hilang penghayatan.
“Macam orang yang sudah lama kahwin kurang hargai, kurang menyemarakkan kasih sayang tetapi hati sayang tak mahu kehilangan.
“Ramai yang ‘take it for granted’ ambil mudah sama dengan kita, kita tidak lalui zaman penjajahan tidak lalui zaman susah, kita tidak rasa pentingnya mahu menjaga, sebab itu kena hayati semula semangat dan roh perjuangan,” katanya.
Mengulas mengenai erti kemerdekaan, Nadzim berkata sikap berterima kasih dan menghargai orang lain yang membantu dirinya.
“Sikap terima kasih ini wajar dijadikan manifesto wakil terpilih agar membudayakan semangat kekitaan dan menghargai yang lain.
“Kita kurang nampak sikap menghormati generasi muda kepada yang lebih berusia, dan nilai yang hilang ini perlu dikembalikan agar penghayatan kemerdekaan itu lebih jelas dalam sanubari setiap insan,” katanya.