PUCHONG: Hospital kerajaan dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan bakal jadi perintis kepada projek bebas kertas dengan mengaplikasi penggunaan sistem simpanan rekod perubatan kesihatan secara elektronik.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan tiada lagi hospital dibebankan dengan penggunaan kertas, sebaliknya semua rekod disimpan secara elektronik.
“Saya pergi ke Hospital Kuala Lumpur, hospital terbesar dalam negara tetapi masih menggunakan simpanan rekod tidak secara elektronik. Untuk mencari rekod perubatan pesakit, mereka kadangkala perlu melihat beribu-ribu fail.
“Malah, kalau kita lihat klinik kesihatan kita, oleh kerana tidak boleh musnahkan rekod pesakit untuk tujuh tahun, di koridor klinik kadang-kadang ada ‘bertimbun-timbun’ dengan fail fizikal pesakit.
“Jadi, ini yang Kementerian Kesihatan (KKM) hendak percepatkan seiring kemajuan dan inovasi teknologi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Dzuleira Abu Bakar.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tender bagi pemasangan sistem rekod perubatan kesihatan secara elektronik itu sudah dibuka.
“Hospital dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan akan menjadi yang pertama menggunakan sistem rekod kesihatan eletronik, bebas penggunaan kertas.
“Pemilihan Negeri Sembilan kerana ia bersedia dan sebuah negeri yang kecil, jadi lebih mudah.
“Kita akan pilih vendor dalam masa terdekat melalui tender terbuka terbabit,”
Tambahnya, vendor yang dipilih akan menaik taraf dan memasang sistem rekod kesihatan eletronik di semua hospital dan klinik kesihatan.
“Sekiranya projek rintis ini berjaya, kita akan melihat keperluan untuk memperluaskannya ke hospital dan klinik kesihatan seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai keputusan bagi kelonggaran penggunaan pelitup muka dalam negara, Khairy berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya dalam masa terdekat.
“Saya akan buat keputusan tidak lama lagi. Perkara itu sudah dibincangkan, beri saya masa beberapa hari,” katanya.
Baru-baru ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pakar epidemiologi menggesa supaya KKM membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka berdasarkan beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan