HomeBeritaMOSTI mahu perkenalkan robotik AI bantu KKM

MOSTI mahu perkenalkan robotik AI bantu KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal memperkenalkan penggunaan robotik seperti Automated Guided Vehicle dan Drone dilengkapi dengan Artificial Intelligence (AI).

Ia akan disesuaikan dengan kegunaan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, teknologi ini boleh membantu warga KKM dari segi pembersihan, nyahkuman dan penyelenggaraan fasiliti.

Selain itu, katanya, penggunaan Unmanned Aerial Surveillance System untuk memantau kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan yang sukar dimasuki oleh petugas kesihatan seperti bumbung rumah dan bangunan tinggi.

“Dari segi kesihatan awam, teknologi ini penting untuk menyokong usaha pencegahan penyakit yang dibawa oleh vektor seperti serangga dan haiwan perosak.

“MOSTI juga merancang untuk membina sebuah AI-Tech Hospital yang berteraskan teknologi AI, yang pakar dalam kesihatan awam dan penyakit jarang dan tidak berjangkit (rare & non-communicable disease).

“Ia akan direka bentuk berdasarkan konsep modular dan dinamik untuk kemudahan kuarantin bawah tanah, ruang fleksibel bagi menampung keperluan rawatan perubatan yang berbeza dan perolehan dalam kemajuan teknologi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Dzuleira Abu Bakar.

Turut diadakan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MRANTI dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tambahnya, penubuhan Hab Teknologi Kesihatan NTIS akan mempercepatkan penciptaan, penerimaan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan di dalam sektor kesihatan tanpa menjejaskan tempoh ujian klinikal sedia ada.

“Secara tidak langsung, hab ini juga dapat memberikan faedah kepada para pengguna untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan.

“Hab Teknologi Kesihatan NTIS ini akan disokong Kluster Penjagaan Kesihatan bersepadu MRANTI dengan keluasan 10 ekar di MRANTI Park yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mempercepatkan pelaksanaan projek berinovasi tinggi dalam pelbagai bidang, termasuk bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.

“Jumlah keluasan lantai kasar untuk pembangunan ini ialah 873,000 kaki persegi. Ia akan disokong dengan infrastruktur yang canggih, serta ekosistem teknologi yang holistik di MRANTI Park termasuk kemudahan 5G, pusat data hyperscale, taman learnscape serta persekitaran pembangunan berketumpatan rendah,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau terdapat empat komponen utama bagi Kluster Teknologi Kesihatan MRANTI iaitu Research, Remedy,
Recuperate dan Rehabilitate.

“Ia akan menjadi sistem sokongan kepada Recuperation dan Rehabilitation Village (Perkampungan Pemulihan dan Rehabilitasi).

“Perkampungan ini tidak seperti konsep kediaman persaraan yang lain, Perkampungan Pemulihan ini akan menyediakan ekosistem yang lengkap bukan sahaja untuk bantuan kehidupan tetapi juga untuk penyakit dan pemulihan jangka panjang.

“Liputan segmen akan lebih luas dan bukan sahaja tertumpu kepada warga emas tetapi juga kepada kanak-kanak dan pesakit berkeperluan khas. Ia akan mempunyai akses terus ke Hospital AI-Tech,” katanya.

Author

Pilihan Editor