SHAH ALAM: Selangor menyasarkan untuk meraih 40 pingat emas dan berada di kedudukan tiga terbaik keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan dianjurkan di sekitar Lembah Klang bermula 16 hingga 24 Sept ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan prestasi semasa atlet dan pencapaian pasukan negeri pada temasya sebelum ini.
“Selepas 2008, kita boleh lihat peluang pasukan yang bertanding adalah sama rata, semua pasukan (kontinjen) ada peluang untuk menang.
“(Tetapi) saya percaya Selangor ada keupayaan kita sendiri. Kita akan cuba yang terbaik, dengan 40 pingat itu (emas) saya percaya kita boleh capai tiga terbaik (keseluruhan),” katanya pada sidang media di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata kontinjen Selangor akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman.
Dalam pada itu, Amirudin berkata bagi atlet yang berjaya memenangi pingat emas, perak dan gangsa masing-masing akan menerima insentif sebanyak RM3,000, RM2,000 serta RM1,000.
“Jika mereka dapat menjadi juara (keseluruhan), kita akan tambah lagi. Bagi mereka yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan, kita juga memang sediakan (insentif),” katanya.
Kontinjen Selangor yang pernah menjuarai Sukma sebanyak sembilan kali, menghantar 490 atlet dan 75 jurulatih yang akan mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan dipertandingkan dalam edisi kali ini.
Sebelum ini pada edisi 2018 di Perak, kontinjen Selangor meraih 47 pingat emas, 68 perak dan 67 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan.
Pada majlis sama, Amirudin menyerahkan watikah lantikan kepada bapa-bapa angkat pasukan Selangor yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri.
“Bapa-bapa angkat ini berperanan bagi memudahkan pelarasan serta meringankan beban yang dihadapi oleh persatuan-persatuan sukan dalam menghadapi temasya ini,” katanya.
Venue bagi Sukma kali ini melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam, manakala pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi. – BERNAMA