HomeMV+BongkarDilema pelajar cemerlang tanpa MyKad, bimbang gagal masuk universiti

Dilema pelajar cemerlang tanpa MyKad, bimbang gagal masuk universiti

CYBERJAYA: Jika sebelum ini, isu gadis tanpa kerakyatan Rohana Abdullah mendapat perhatian negara termasuk Perdana Menteri ke sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rohana, 23, dijaga oleh seorang wanita Cina yang juga ibu angkat, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan dan menghadapi masalah mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Akhirnya, Rohana mendapat taraf kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada April lalu.

Status tanpa kerakyatan wujud selepas ibu atau bapa warganegara lambat mendaftar perkahwinan menyebabkan proses dokumentasi anak mereka terganggu.

Ini adalah satu kisah anak tanpa kerakyatan yang lahir 17 tahun lalu di sebuah pedalaman di Kunak, Sabah bernama Syarijana Jamil.

Ibu kepada Syarijana Jamil menunjukkan MyKad dimiliki dirinya dan adik kepada Syarijana

Bapanya keturunan Melayu, ibunya pula pemegang Penduduk Sementara (PR) yang lahir di wilayah itu 40 tahun lalu dan mereka berkahwin cara kampung dan memiliki tiga cahaya mata.

Namun masyarakat di Kunak masih tertinggal jauh dari sudut pendidikan dan pengetahuan menjadi punca golongan ini tidak menganggap dokumen perkahwinan itu penting.

Mereka tidak minta dilahirkan dalam kemiskinan, kurang pengetahuan atau pendedahan mengenai implikasi tindakan mereka di masa depan.

Ibu dan dua adik kepada Syarijana kemudiannya mendapat status warganegara pada tahun 2020, namun malang bagi gadis itu yang masih tercicir tanpa status sehingga ke hari ini.

Syarijana adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, meluahkan kesukaran mendapat hak di tanah kelahirannya, apabila hanya dia seorang daripada ahli keluarganya yang tiada MyKad.

Rasa diri terasing dan dilihat sebagai warga asing dan pelarian walaupun ibu bapa serta adiknya memiliki MyKad.

Sejak awal persekolahan lagi, gadis ini berdepan cabaran apabila haknya untuk mendapat kemudahan dan bantuan seperti rakyat lain dinafikan secara mutlak.

“Saya sukar dapat bantuan buku teks, hanya sekali sahaja dapat selepas buat rayuan.

“Saya tidak pernah dapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) walaupun ibu bapa gaji bawah RM2,000 sebulan.

“Saya gagal menyertai mana-mana program dan aktiviti luar sekolah jika memerlukan MyKad selain tidak menerima skim bantuan KPM 2022 bernilai RM150.

“Saya pun macam Rohana, saya juga ada impian selepas SPM, saya nak masuk Universiti Sains Malaysia nak ambil bidang forensik, tapi saya tak tahu  dapat teruskan atau tidak sebab saya tak ada MyKad, apa hak saya di negara ini?” luahnya kepada MEDIA VARIASI.

Syarijana dilihat bukan sahaja bijak dalam pelajaran malah aktif dalam kokurikulum dan berbakat menjadi pemimpin yang baik satu hari nanti.

“Saya sekarang di aliran Sains Tulen dan antara pelajar cemerlang sekolah, nombor 13 daripada 102 pelajar keseluruhan di tingkatan lima serta antara ‘Top 5’ mewakili sekolah.

“Walau tanpa MyKad, saya tidak putus asa mahu ubah hidup keluarga keluar dari kemiskinan dan bawa pulang segunung harapan serta kejayaan,” katanya.

Syarijana banyak memegang jawatan dalam persatuan sekolah, antaranya Naib Pengerusi Kadet Remaja Sekolah dengan pangkat Koperal, pengawas sekolah, Pengerusi Kelab Seni dan Budaya serta Setiausaha Rumah Sukan.

“Di luar sekolah saya juga sertai persatuan belia, menjadi naib pengerusi belia dan sukan peringkat negeri,” katanya yang mewakili negeri untuk beberapa pertandingan kuiz Sains dan sebagainya.

Justeru, dia merayu supaya kisahnya diambil perhatian oleh kerajaan seperti Rohana kerana dia bukan sahaja rakyat yang baik tetapi mampu menyumbang kembali jasa kepada negara.

“Ibu bapa saya, adik saya ada MyKad, mereka warganegara Malaysia tetapi saya dianggap pendatang asing kerana tiada Mykad.

“Saya merayu kepada kerajaan untuk merealisasikan impian saya untuk jadi warganegara kerana saya salah seorang rakyat yang baik dan akan menyumbang bakti semula kepada negara,” katanya.

IKUTI KISAH SELANJUTNYA DILEMA PELAJAR CEMERLANG TANPA MYKAD

Author

Pilihan Editor