HomeMV+BongkarDilema pelajar cemerlang tanpa MyKad: Masih dalam proses KDN sejak 2018

Dilema pelajar cemerlang tanpa MyKad: Masih dalam proses KDN sejak 2018

CYBERJAYA: Penantian pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Dato Onn, Pudu, Syarijana Jamil, 17, untuk mendapat haknya sebagai warganegara bukanlah mudah.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, semakin tertekan apabila perjuangan demi masa depannya masih belum menampakkan cahaya.

Permohonan status kewarganegaraan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih tiada jawapan sejak tahun 2018.

Ibunya, Jumaitiah Jahud, 41, berkata borang permohonan anak sulungnya itu sudah lusuh setelah lebih 10 kali turun naik agensi itu dalam tempoh lima tahun perjuangan mereka.

Permohonan status warganegara di KDN sejak tahun 2018.

Ibu kepada tiga anak itu menceritakan masalah dokumentasi yang dihadapinya dari Kunak, Sabah.

“Ibu bapa saya dahulu pemegang pasport IM13 iaitu dokumen untuk pelarian dari Filipina yang menetap di Sabah.

“Sebelum status saya warganegara dan memiliki MyKad, saya juga memegang pasport IM13.

“Saya memiliki sijil lahir sebab lahir di Kunak Sabah dan kerana itu mudah untuk saya memohon Pemastautin Tetap (PR).

“Semasa saya bernikah dengan bapa Syarijana dahulu iaitu seorang warganegara di Sabah, saya cuma memegang sijil lahir.

“Kerana dokumen itu membuatkan saya tak boleh daftar nikah ketika itu kerana saya ada sijil lahir sahaja.

“Pada tahun 2005, anak saya (Syarijana) dilahirkan tetapi pada tahun 2007 baharulah saya mendapat sijil nikah.

“Ini kerana pendaftaran lewat dan memberi kesan kepada status warganegara anak saya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Sijil lahir Syarijana ketika ibunya masih memegang pasport IM13 dan bapa warganegara. Pada tahun 2020 ibunya sudah memiliki MyKad.

Terdahulu, MEDIA VARIASI mengetengahkan isu calon SPM itu yang berhadapan kesukaran mendapat haknya di tanah kelahirannya sendiri, apabila hanya dia seorang daripada ahli keluarganya yang tiada MyKad.

Rasa diri terasing dan dilihat sebagai pelarian walaupun ibu bapa dan adik memiliki MyKad.

Pelajar aliran Sains Tulen itu antara pelajar cemerlang sekolah, nombor 13 daripada 102 pelajar dalam tingkatan, dan Top 5.

Syarijana banyak pegang jawatan dalam persatuan sekolah, antaranya Naib Pengerusi Kadet Remaja Sekolah dengan pangkat Koperal, pengawas sekolah, Pengerusi Kelab Seni dan Budaya serta Setiausaha Rumah Sukan.

Dalam pada itu, Jumatiah meluahkan rasa aneh kerana anak keduanya sudah terima MyKad, anak bongsunya juga terima MyKid tetapi anak sulungnya masih tiada status.

“Saya amat berharap impian anak saya untuk masuk USM dan menjadi ahli forensik tidak terkubur dek kerana tiada MyKad,” katanya.

IKUTI KISAH SELANJUTNYA DILEMA PELAJAR CEMERLANG TANPA MYKAD DI MEDIAVARIASI.COM

Author

Pilihan Editor