LAMBAKAN drama pendek yang berbentuk sinis dan lucu menjadi bahan kempen baharu mula memenuhi media sosial khususnya di TikTok.
Hasil kreativiti anak muda di media sosial semakin terserlah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi merumuskan ciri parti-parti politik yang dijangka bertanding.
Transformasi yang jauh berbeza dengan demam pilihan raya 20 tahun lalu iaitu ketika belum wujud TikTok, Twitter dan Whatsapp.
Ketika ini, kepakaran produksi yang terdiri daripada grafik, penyunting video, pengarah kreatif, penulis skrip dan seangkatan dengannya amat laris seperti ‘pisang goreng’.
Ada rakan daripada bidang ini memberitahu penulis dia ‘tak menang tangan dan terpaksa bersengkang mata’ selepas menerima pelbagai tugasan daripada beberapa parti politik yang mahukan impak kreatif terbaik darinya.
Rata-rata mahukan hasil yang bersahaja, dekat dengan rakyat dan mesejnya sampai ke hati mereka.
Cabaran buat ‘pembikin drama pendek’ ini adalah kerana mereka juga perlu memahami ‘do and don’t’ agar tidak melanggar undang-undang fitnah, hasutan ataupun multimedia.
Bahan kempen seperti ‘pembunuhan karektor’, fitnah atau serangan peribadi tidak lagi menarik minat netizen kerana mereka sudah bijak menilai dan tahu apa di sebalik mesej disampaikan.
Dengan kata lain, pemilihan bahan kempen yang lebih mencuit hati, berfakta dan mudah difahami lebih diterima berbanding menyentuh sisi gelap individu berkenaan.
Tujuannya bagi meninggalkan impak di minda dan hati 21,090,980 pemilih yang direkodkan pada hujung Mei lalu meliputi pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi.
Daripada jumlah itu seramai 5,873,916 pemilih sudah didaftarkan automatik melalui pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Drama pendek paling berkesan ini diulang siar di semua platform media sosial dan menjadi hiburan rakyat ketika ini, meredakan kerisauan mengenai ketidakstabilan dunia politik ketika ini.
Ia akan menjadi cabaran baharu bagi parti politik berkempen dan anjakan paradigma parti politik untuk kempen PRU15 dan pilihan raya seterusnya.