HomeBeritaEtilena oksida dikesan dalam mi segera Mie Sedaap Korean Spicy

Etilena oksida dikesan dalam mi segera Mie Sedaap Korean Spicy

CYBERJAYA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengesan kandungan bahan perosak, etilena oksida dalam mi segera Mie Sedaap Korean Spicy.
SFA berkata, pihak telah mengarahkan Sheng Sheng F&B Industries Pte Ltd menarik balik mi segera Mie Sedaap Korean Spicy Sup dan mi segera Korean Spicy Chicken daripada pasaran.
Menurutnya, pengesanan itu dibuat susulan produk ais krim Haagen-Dazs didapati mengandungi etilena oksida pada Ogos lalu.
“Etilena oksida tidak dikesan dalam mana-mana produk makanan yang dikaji selain mi segera Mie Sedaap. Ini mencetuskan SFA untuk menjalankan ujian kawal selia produk Mie Sedaap supaya kami boleh mengambil penguatkuasaan tindakan.
“Setakat ini, kehadiran etilena oksida telah disahkan dalam mi segera Mie Sedaap Korean Spicy Soup dan mi segera Korean Spicy Chicken,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru, SFA akan meneruskan ujian kawal selia produk mi segera Mie Sedaap yang lain serta bekerjasama dengan pengimport dan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat dan membetulkan punca pencemaran etilena oksida itu.
“Sekiranya etilena oksida dikesan melebihi paras maksimum yang ditetapkan, SFA akan memulakan penarikan semula produk yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.
Untuk rekod, Etilena oksida adalah racun perosak yang tidak dibenarkan untuk digunakan dalam makanan, namun boleh digunakan untuk mengasapi produk pertanian untuk mengelakkan pencemaran mikrob.
Di bawah Peraturan Makanan Singapura, etilena oksida dibenarkan untuk digunakan dalam pensterilan rempah dan Had Sisa Maksimum (MRL) etilena oksida dalam rempah tidak boleh melebihi 50mg/kg (50ppm).
“Walaupun tiada risiko serta-merta untuk pengambilan makanan yang tercemar dengan tahap rendah etilena oksida, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan. Oleh itu, pendedahan kepada bahan ini harus diminimumkan.
“Pengguna yang telah membeli produk yang tersebut dinasihatkan untuk tidak mengambilnya. Mereka yang telah menggunakan produk yang terlibat dan mempunyai kebimbangan tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan. Pengguna boleh menghubungi tempat pembelian mereka untuk pertanyaan,” pesannya.

Author

Pilihan Editor