HomeBeritaBajet 2023: Bantuan BKM bertambah, ringankan beban keluarga ramai anak

Bajet 2023: Bantuan BKM bertambah, ringankan beban keluarga ramai anak

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat bahawa Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) semakin bertambah.
Antara BKM yang diumumkan beliau ialah peruntukan sebanyak RM2,500 bantuan ‘one-off’ untuk isi rumah yang mempunyai lima orang anak atau lebih.
“Menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai
langsung, pelaksanaan Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM akan
terus ditambah baik.
“Dengan itu, untuk tahun hadapan, Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.
“Ini ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak,” kata Zafrul.
Selain itu, bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
Manakala isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.
“Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600
dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
“Tahun 2023, bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan. Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000.
“Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor