HomeGaya HidupHapus diskriminasi kucing kampung, semua layak disayangi

Hapus diskriminasi kucing kampung, semua layak disayangi

PETALING JAYA: Sikap segelintir masyarakat yang membezakan dan mendiskriminasi kucing mengikut jenis seperti kucing kampung atau kucing jalanan tidak wajar berlaku.

Bagi mereka kucing berbulu lebat, dengan mata cantik perlu mendapat layanan lebih baik berbanding kucing kampung.

Ramai yang tidak tahu, kucing bulu pendek mengikut sejarah peradaban Mesir purba, pernah diangkat sebagai satu entiti suci dan sangat dekat dengan alam roh, di mana ia boleh mengesan sebarang ancaman dan juga perisai terhadap tuannya.

Kucing dalam era itu dikenali sebagai Bastet atau Mata Dewa Ra iaitu pelindung dan juga penghukum malah sehingga ke hari ini masih ada yang percaya kucing memiliki sembilan nyawa.

Peserta International Catshow menunjukkan kucing miliknya jenis Maine Coon

Bagaimanapun, setelah zaman berubah dengan pelbagai teknologi baharu kucing juga mengalami evolusi dan wujudlah pelbagai jenis baka kucing dengan nama ala English dan dijual dengan harga standard jenisnya.

Kucing kampung sebenarnya jika diberikan makanan kucing premium serta mempunyai persekitaran yang kondusif, ia juga mampu membesar dan cantik seperti Maine Coon.

Seekor kucing jenis British Short Hair di International Catshow di Jaya One Petaling Jaya

Justeru, seorang pencinta kucing sejati tidak akan membezakan atau merendah-rendahkan martabat kucing kampung kerana spesies ‘feline’ itu juga layak untuk disayangi, mendapatkan kebajikan, keselamatan dan perlindungan.

Kucing kampung juga dikenali sebagai ‘Malay Cat’, jenis berbulu pendek (Domestic Short Haired), corak bulunya berceloreng seakan-akan jenis kucing Tabby, bertelinga besar, badannya besar, ekornya panjang serta mempunyai hujung ekor berbelang seakan-akan ekor musang dan ada yang ekornya bengkok atau bersimpul.

Suziey bersama kucing kampung yang menyertai International Catshow di Jaya One Petaling Jaya

Pengurus penganjuran Diva CFA International Catshow, Suziey Natasha berkata, masyarakat perlu dididik menghargai kucing kampung kerana menyifatkan semua kucing layak untuk disayangi tanpa mengira latarbelakang.

Katanya, dengan penganjuran pertandingan kucing bertempat di Jaya Shopping Centre pada Sabtu, memberi peluang dan galakan kepada pencinta kucing mengangkat kucing kampung ke dalam platform peringkat antarabangsa itu.

“Kita adakan pertandingan kucing peringkat antarabangsa dengan menghimpunkan baka kucing yang ada di dunia dan membawa juri antabangsa serta juri tempatan yang diiktiraf antarabangsa.

“Di sini, kita juga mengangkat kucing kampung, kita namakan kategori HHP (Household Pet) iaitu kucing rumah, yang tiada sijil, kucing jalanan dan kita ambil, jaga cantik dan bawa ke peringkat antarabangsa.

“Ini kerana, semua kucing layak untuk disayangi, jadi kita buat pertandingan untuk berikan kesedaran untuk orang ramai yang kucing kampung pun boleh buat pertandingan di antarabangsa,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Juri antarabangsa yang memberi markah terhadap kucing yang menyertai International Catshow

Suziey berkata, enam juri diiktiraf antarabangsa masing-masing dua daripada Amerika Syarikat (USA), Jepun (2), Rusia (1) dan Malaysia (1) dibawa ke dalam pertandingan dalam penilaian baka dan HHP membabitkan enam platform (6 Rings).

Katanya, kategori disediakan Pedigree Kitten, Pedigree Championship, Pedigree Premiership (kembiri) dan HHP.

Salah seekor kucing jenis Persian Exotic Short Hair di International Catshow di Jaya One Petaling Jaya

“Format penganjuran, satu kucing diadili enam pengadil, kalau kucing tak ada rezeki di Ring pertama, dia ada rezeki di Ring seterusnya, ikut nasib.

“Kita bukan tengok kucing cantik sahaja tetapi melihat latarbelakang standard baka masing-masing seperti Maine Coon, Persian, Scottish,” katanya.

Author

Pilihan Editor