HomeBeritaPolitikPecat Phahrolrazi tindakan disiplin ‘biasa’ – Mat Sabu

Pecat Phahrolrazi tindakan disiplin ‘biasa’ – Mat Sabu

CYBERJAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan pemecatan keahlian Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi adalah satu tindakan disiplin biasa.

“Dalam disiplin parti ia perkara biasa… dahulu dalam parti lama PAS Datuk Asri (bekas Yang Dipertua Agung, Datuk Mohd Asri Muda) pun diambil tindakan disiplin,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Mega Harapan Perak di Pasar Tambun, Ipoh, malam tadi.

Pada Ahad, media melaporkan Amanah memecat keahlian Phahrolrazi kerana didapati melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli menyatakan tindakan itu berikutan Phahrolrazi mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat semalam.

Sementara itu, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dalam kenyataan beliau berkata, tindakan membantah keputusan meletakkan calon DAP bagi kerusi Parlimen Jerai bermatlamat menjaga kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Ke-10.

 

Author

Pilihan Editor