CYBERJAYA: Sebanyak 66,000 peranti dalam bentuk tablet telah berjaya diagihkan kepada mahasiswa menerusi program pemberian Perantisiswa Keluarga Malaysia, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya yang juga Menteri Kesihatan, hampir 350,000 pelajar daripada seluruh negara layak menerima bantuan daripada skim itu.
“Penggunaan peranti dalam bentuk komputer riba atau tablet amat penting dalam pengajian para mahasiswa dan ia bukanlah lagi satu kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan bagi mereka.
“Oleh itu, program pemberian Perantisiswa Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM (KKMM) untuk golongan siswazah dari keluarga B40 amat penting demi kejayaan pengajian mereka.
“Dengan kelengkapan pembelajaran ini, ia dapat menjamin mereka melengkapkan pengajian dengan sempurna, seterusnya mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Pada masa sama, beliau turut hadir pada Majlis Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia bagi Zon Selatan yang melibatkan 1,687 penerima dari kalangan mahasiswa UiTM Negeri Sembilan iaitu dari Seremban, Rembau dan Kuala Pilah.
“Semoga ini meringankan beban keluarga para mahasiswa ini dan membantu anak-anak mereka menjalani proses pembelajaran dengan lebih sempurna,” ujarnya.