CYBERJAYA: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tampil menawarkan Kertas Hitam Muda sebagai panduan gerakan parti itu berkhidmat kepada rakyat.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Kertas Hitam itu bersandarkan kepada suara rakyat Malaysia.
Menurutnya, kertas berkenaan merangkumi falsafah dan panduan dasar kepada gerakan parti itu.
“Ramai dah tertanya-tanya, apa yang MUDA akan bawa kepada rakyat Malaysia?”.
“Julai lepas, MUDA telah gerakkan ke semua ahli di seluruh Malaysia untuk berjumpa seramai rakyat yang boleh. Rakyat Malaysia di semua penjuru telah respons dan berikan kami tiga perkara yang mereka mahukan untuk Malaysia.
“Pendidikan, ekonomi sejahtera, pertanian moden, peluang kerja, seni tanah air, kebebasan untuk mengejar cita-cita, hak ibu dan kanak-kanak, tuntutan untuk gaji yang lebih tinggi dan macam-macam lagi,” tulisnya di Facebook pada Isnin.
Ahli Parlimen Muar itu menegaskan pihaknya sedia berkhidmat kepada rakyat berdasarkan Kertas Hitam berkenaan.
Jelasnya, beliau akan menghuraikan Kertas Hitam MUDA dengan lebih terperinci dalam masa terdekat.