Melalui kenyataan dikeluarkan jurucakapnya, Stephane Dujarric, pegawai tertinggi PBB itu memuji keputusan kerajaan Colombia dan Tentera Pembebasan Kebangsaan untuk menyambung semula dialog damai yang diumumkan hari ini.
Guterres menggesa kedua-dua pihak merebut sepenuhnya peluang ini untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad dan resolusinya penting bagi meluaskan skop keamanan di negara itu.
Beliau turut berharap rakyat Colombia dapat menunjukkan sekali lagi bahawa konflik yang sudah lama berakar umbi itu boleh diselesaikan melalui dialog, menurut kenyataan berkenaan.
Rundingan damai antara kerajaan Colombia dan ELN bermula pada 2017, tetapi terhenti pada Januari 2019 selepas kumpulan pemberontak itu melakukan serangan bom kereta yang mengorbankan lebih 20 orang. – BERNAMA