SHAH ALAM: Justifikasi kos baik pulih dan menaik taraf Stadium Shah Alam yang menelan belanja sebanyak RM787 juta oleh kerajaan negeri Selangor didakwa sebagai tidak masuk akal.
Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor, Datuk Mua’adzam Shah Ya’akop berkata, kos baik pulih adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada pembinaan stadium baharu yang memerlukan penjelasan kerajaan negeri mengenai jumlah yang akan dibelanjakan untuk melaksanaan pembinaan stadium keramat pasukan The Red Giants itu.
“Kerajaan negeri dilihat ada agenda tersembunyi. Kos RM787 juta untuk membaik pulih adalah dua kali ganda daripada sebuah stadium baharu. Bagi saya ini adalah satu perkara yang luar biasa dan tidak masuk akal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam pada 16 Julai lalu di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini hari ini.
Jelas Adzam, penduduk setempat khususnya di sekitar kawasan seksyen 13 yang berhampiran Stadium Shah Alam juga melahirkan kebimbangan apabila pembinaan projek stadium baharu itu akan memberi impak terhadap tahap kesejahteraan mereka seperti kesesakan lalu lintas, alam sekitar dan kemudahan infrastruktur iaitu bekalan elektrik, air dan pembentungan di kawasan tempat tinggal.
“Saya juga penduduk di kawasan seksyen 13, ingin menyampaikan keresahan penduduk yang membangkitkan persoalan apakah impak pembinaan Stadium baharu oleh kerajaan negeri ini.
“Adakah kerajaan negeri sudah melakukan kajian terperinci sebelum meletakkan niat melaksanakan projek pembinaan ini. Ini kerana seksyen 13 tidak boleh menampung kepadatan penduduk sekarang ini.
“Kesesakan trafik sekarang ini juga sudah cukup menyeksakan. Kami difahamkan pembinaan stadium ini akan menggunakan bahan letupan, jadi di sini kami mahu dapatkan penjelasan dari kerajaan negeri terhadap jaminan keselamatan kepada penduduk,” jelasnya.
Julai lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri memutuskan untuk pelaksanaan pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam.
Ketetapan itu dibuat selepas meneliti cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013.