HomeNiagaKASA umum pembangunan platform e-dagang tawar produk, perkhidmatan hijau pertama di Malaysia

KASA umum pembangunan platform e-dagang tawar produk, perkhidmatan hijau pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Malaysian
Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dengan kerjasama JNJ Management Consultants Sdn Bhd mengumumkan pembangunan sebuah platform e-dagang yang menawarkan produk dan perkhidmatan hijau pertama di Malaysia.

Platform e-dagang Green ODELA adalah di bawah pengiktirafan MyHIJAU Mark yang diadakan bersempena International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2022, Kuala Lumpur Convention Centre pada Khamis.

Pengarah Pengeluaran dan Pengunaan Lestari MGTC, Abdul Malik Atan berkata, orang ramai juga dijemput melawat ruang pameran pihaknya di IGEM 2022 untuk mengetahui lebih mendalam mengenai inisiatif itu.

“Kami menjemput orang ramai khususnya pembuat dan pengeluar produk dan perkhidmatan hijau untuk melawat ruangan pameran kami di IGEM 2022 yang terletak di dewan 2, nombor 2031-2036 untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai MyHIJAU dan faedah berdaftar di platform e-dagang ODELA.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang menarik antaranya program Business Matching yang menawarkan pembiayaan hijau melalui dana yang tersedia di bawah SME Bank,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut MGTC, platform ini meliputi perolehan hijau di bawah inisiatif MyHIJAU serta akses kepada produk pembiayaan hijau melalui institusi kewangan yang terlibat selain menghubungkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri dengan lancar melalui pendekatan digitalisasi.

Pengiktirafan MyHIJAU Mark merupakan inisiatif kerajaan yang dilancarkan pada 2015 untuk memberikan piawaian; serta membantu pengguna dan pembeli mengenal pasti produk dan perkhidmatan hijau yang diiktiraf kerajaan.

Skim Pengiktirafan MyHIJAU Mark memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pengeluaran lestari yang menghasilkan dan mempromosikan pasaran produk dan perkhidmatan mesra alam.

Melalui Direktori MyHIJAU, pembelian produk termasuk peralatan terpilih layak untuk mendapat insentif cukai teknologi hijau seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), manakala syarikat menawarkan perkhidmatan hijau terpilih layak untuk Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE).

“Sehingga September 2022, sebanyak 11,084 jumlah produk dan perkhidmatan hijau telah didaftarkan di bawah Direktori MyHIJAU,” jelas MGTC.

Majlis pelancaran IGEM 2022 yang menyaksikan pengumuman pembangunan platform ini disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Noor Afifah Abdul Razak.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ts Shamsul Bahar Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif JNJ Management Consultants Sdn Bhd, Fauziah Husain; serta Pengerusi JNJ Management Consultants Sdn Bhd, Siti Nur Mokhtar.

Author

Pilihan Editor