LONDON: Perdana Menteri Britain, Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan pada Khamis, sekali gus menjadikannya perdana menteri paling singkat berkhidmat dalam sejarah Britain.
Peletakan jawatan Truss susulan belanjawan yang dibentangkan kerajaannya serta ideanya mencetuskan pergolakan dalam pasaran kewangan dan ekonomi, beberapa siri peletakan jawatan lain dan pemecatan dalam kerajaannya, serta isu disiplin dan perpaduan dalam Parti Konservatif.
Pemilihan tampuk kepimpinan baharu akan diadakan dan diselesaikan dalam masa seminggu, manakala Truss akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri sehingga penggantinya dilantik, menurut Agensi Anadolu.
Bercakap di luar 10 Downing Street, Truss berkata beliau dipilih ketika bil tenaga melambung tinggi dan dengan mandat untuk mengubah pertumbuhan ekonomi Britain yang perlahan.
“Bagaimanapun, saya sedar memandangkan keadaan saya tidak dapat menunaikan mandat ketika saya dipilih oleh Parti Konservatif,” katanya.
Truss berkata beliau telah menghadap Raja Charles III serta menyampaikan hasrat peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif, menurut laporan agensi itu .
“Pagi ini saya bertemu pengerusi Jawatankuasa 1922 Sir Graham Brady. Kami bersetuju bahawa pemilihan kepimpinan akan dilaksanakan dan diselesaikan pada minggu hadapan.
“Ini akan memastikan kita terus berada di landasan tepat untuk menyampaikan rancangan fiskal serta mengekalkan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara.
“Saya akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pengganti baharu dipilih,” katanya.
Truss berkhidmat sebagai perdana menteri selama enam minggu. – BERNAMA