HomeBeritaPolitikPRU15: Jika dinobat jadi PM, saya potong gaji, elaun PM - Anwar

PRU15: Jika dinobat jadi PM, saya potong gaji, elaun PM – Anwar

CYBERJAYA: Jika diberi mandat, perkara pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri.

Itulah yang diungkapkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau dinobatkan menjadi perdana menteri baharu buat Malaysia.

Menurutnya, perkara itu penting dilaksanakan susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

“Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tak terkawal, dan kemudahan kesihatan ibu bapa tak terurus.

“Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT, 20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri.

“(Gaji dan elaun untuk) menteri-menteri saya akan runding kemudian, akan tetapi untuk (gaji dan elaun) perdana menteri, saya nak beri tahu, kalaulah keadaan ekonomi seperti ada sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai perdana menteri,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini pada Khamis malam.

Tambah Anwar, beliau juga akan memastikan jumlah anggota Kabinet dikurangkan sekiranya PH berjaya menakluk kembali Putrajaya.

“Dari (Tun Dr) Mahathir Mohamad turun ke Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). (Muhyiddin) dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tak terurus.

“Daripada Muhyiddin dapat kepada kepada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), (jumlah) menteri bertambah, penasihat perdana menteri bertambah.

“Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tak menentu, pelaburan tak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan insyaAllah, dari Ismail sampai kepada Anwar, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor