KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu kelak diminta memansuhkan peraturan yang menyekat guru daripada melontarkan idea, pendapat dan kritikan membina, pada masa yang sama berhujah secara ilmiah.
Justeru, guru Matematik, Cikgu Fadli menggesa kerajaan melonggarkan sedikit peraturan menghalang penjawat awam mengkritik dan menyuarakan kelemahan dalam suatu dasar, termasuk sistem pendidikan negara.
Ini kerana kata Cikgu Fadli atau nama sebenarnya Mohd Fadli Mohamed Salleh, pihak yang lebih memahami dasar yang dibawa adalah kumpulan pelaksana kerana mereka mengaplikasi, mengadaptasi sedalam mungkin sebelum melaksanakan penyampaian kepada penerima akhir secara berkesan.
“Tolonglah mansuhkan peraturan yang mana penjawat awam tidak boleh mengkritik dasar, penjawat awam tidak boleh menyatakan kelemahan. Ini kerana orang yang tahu rosaknya, lemahnya dasar yang dibawa itu adalah pelaksana.
“Dalam hal Kementerian Pendidikan (KPM) pelaksana itu adalah guru. Maka, merekalah yang layak memberi kritikan, ulasan dan maklum balas sama ada dasar itu sesuai atau tidak.
“Jika suara guru disekat, impaknya ialah kerosakan pada sistem dan kesannya pula terhadap murid,” katanya dalam penstriman langsung sebelum ini.
Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu mendakwa terdapat lantikan politik, kroni serta segelintir orang yang tidak layak berada di jawatan tertenty, dan perkara itu perlu diubah, berikutan persepsi terhadap integriti pihak terbabit semakin terhakis.
“Pendidikan perlu diasingkan daripada politik. Walaupun ia mungkin akan mengambil masa, situasi itu perlu diubah. Ini kerana sekiranya ada campur tangan politik, maka wujud kepentingan untuk mengatur orang-orang tertentu dalam jawatan.
“Perkara ini sudah lama berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun. Integriti sangat penting. Jika tidak, negara boleh hancur kerana rasuah, tiada integriti dan kroni. Kesannya akan merebak hingga ke peringkat kakitangan bawahan, termasuk di sekolah.
“Budaya ‘Little Napoleon’, budaya tidak sihat itu perlu dihapuskan kerana ia merosakkan seluruh organisasi,” dakwanya.
Terdahulu, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan beliau tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.
Berdasarkan surat keputusan yang tular dalam laman sosial pada Selasa, beliau juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Terdahulu, tular kisah Cikgu Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Cikgu Fadli tidak menolak sesetengah dakwaan bahawa keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan itu berkemungkinan dipengaruhi desakan netizen.
Bagaimanapun, beliau berkata, bukti kukuh dikemukakan oleh peguam yang mewakilinya bersama hujah dan satu rujukan kes dalam surat jawapan beliau, menjadi faktor utama membawa kepada keputusan tidak bersalah itu.
“Jika perkara ini tidak tular dan tiada tekanan daripada netizen sekalipun, saya positif bahawa peguam yang mewakili saya mampu menang, walaupun tanpa sokongan dan tiada menteri campur tangan.
“Sekiranya Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendapati saya bersalah sekalipun, saya akan terus berjuang hingga ke mahkamah. Saya positif boleh menang kerana tindakan yang cuba diambil itu jelas ada unsur kezaliman dan dendam serta tidak masuk akal,” dakwanya.
Mohd Fadli turut menjelaskan, perjuangan asal beliau bukan untuk didapati tidak bersalah, namun berjuang supaya anak-anak di sekolah mendapat hak mereka dan silibus pendidikan dikaji semula.