HomeBeritaPolitikPRU15: Tular senarai calon 'kerja budak nakal' - Ab Rauf

PRU15: Tular senarai calon ‘kerja budak nakal’ – Ab Rauf

ALOR GAJAH: Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen di Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tular hanyalah spekulasi, kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat nama yang tular itu adalah antara 30 nama yang telah dihantar kepada kepimpinan parti untuk pertimbangan.

“Itu merupakan satu spekulasi (senarai calon yang tular) mungkin betul, mungkin tidak,” katanya dan menambah beliau belum mendapat sebarang keputusan rasmi daripada kepimpinan tertinggi BN berhubung senarai calon.

“Nama-nama yang disiarkan itu (tular), saya mengambil pendekatan adalah spekulasi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, demikian ketika diminta mengulas senarai nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang akan bertanding pada PRU15 yang tular sejak malam tadi melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut senarai yang tular itu, Sulaiman adalah calon bagi Parlimen Masjid Tanah, Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang, Datuk Lim Ban Hong calon Parlimen Alor Gajah dan ‘Corny Chew’ calon Parlimen Kota Melaka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohamed Ali Mohamad disenaraikan sebagai calon Parlimen Tangga Batu, Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali calon Parlimen Hang Tuah Jaya dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan di Parlimen Jasin.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai senarai calon yang tular itu serta menyifatkan ia dilakukan oleh ‘budak nakal’.

“Saya tak tahu. Tunggu pengumuman calon pada 2 Nov ini oleh Pengerusi BN negeri. Jadi tak payahlah percaya. Kalau datang daripada orang parti sendiri, bolehlah kita percaya,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor