HomeBeritaGTA tawar sembilan wajah baharu calon PRU15

GTA tawar sembilan wajah baharu calon PRU15

CYBERJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) menawarkan sembilan wajah baharu terdiri daripada pemimpin dan artis sebagai calon bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sembilan calon tersebut ialah Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau Buzze Azam dari Parti Putra; Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim dan Timbalan Presiden Berjasa, Datuk Mohd Rosli Ramli.

Selain itu, Naib Presiden yang juga Pengarah Pilihanraya Berjasa, Ir. Lukman Al-Hakim; Setiausaha Agung Berjasa, Zulkifli Yahya; pelakon dan pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri serta pelakon yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.

Lukman menerusi hantaran di Facebook hari ini, berkongsikan poster wajah-wajah calon GTA tersebut dan menjelaskan perbezaan parti mereka dengan parti-parti politik lain.

“Didokongi bukan sahaja parti-parti politik yang baharu, tiada rekod politik kotor, tetapi gerakan ini juga memperlihatkan penyertaan banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh nasional yang selama ini bersuara demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air dari luar tembok politik.

“GTA merupakan wadah berwibawa yang berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin yang boleh membantu merejuvenasi politik negara dengan imej baharu.

“Semua calon-calon yang akan ditampilkan GTA merupakan individu yang bebas salah laku dan dakwaan di mahkamah. Malah merupakan pemain politik baharu tanah air yang bebas dari kehidupan kotor politikus sedia ada,” tegas Lukman.

Beliau yakin dan percaya, PRU15 ini merupakan medan terbaik bagi rakyat untuk memilih dan menghantar pemimpin-pemimpin berwajah baharu ke Parlimen Malaysia.

Katanya, impian rakyat Malaysia untuk menjadikan negara sebagai unggul dan bermaruah dapat dicapai, dengan imej baharu dan kewibawaan serta ketokohan calon-calon GTA ini.

Dalam kenyataan sama, Lukman turut berkata, PRU15 kali ini boleh dikatakan sebagai ‘Peperangan Besar dan Penting’ atau ‘Father of all Elections’.

“Parti UMNO dan BN akan cuba sekali lagi bangkit berkuasa demi menyelamatkan masa depan politik saki baki pemimpin yang sedang didakwa kes korupsi di mahkamah, dan PH yang dilihat sudah hilang taring akibat kegagalan 22 bulan pemerintah cuba sekali lagi meyakinkan pengundi.

“Berbeza pula dengan sebuah gerakan rakyat yang dinamakan sebagai GTA yang muncul di tengah-tengah kemelut politik tanah air,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor