SHAH ALAM: Ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) Rescue yang telah tamat menjalani latihan asas selama empat hari bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor adalah sebagai satu usaha penyelamatan dan membantu program pasca bencana di kawasan berisiko yang terdedah kepada bencana banjir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menggalakkan orang ramai menyertai kursus sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2021.
“Tujuan SERVE Rescue ini diwujudkan adalah untuk membantu operasi penyelamat sementara menunggu operasi penyelamat di lokasi-lokasi bencana khususnya di negeri Selangor.
“Pasukan ini juga adalah kesinambungan daripada usaha menggalakkan kesukarelawan bagi negeri Selangor dengan tertubuhnya pasukan ini pada tahun 2021.
“Peristiwa banjir besar yang berlaku pada akhir Disember tahun lalu, telah memberi pendedahan bermakna para sukarelawan Serve yang baru sahaja ditubuhkan untuk berdepan situasi sebenar bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Penyelamatan “SERVE Rescue” tahun 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, di sini hari ini.
Jelas Amirudin, program sukarelawan ini juga adalah bagi menampung kekurangan pegawai dan anggota bomba berjumlah 1,200 di seluruh negeri Selangor menghadapi musim banjir dengan kepadatan penduduk di Selangor kini mencecah tujuh juta penduduk
Turut hadir dalam program tersebut ialah Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri Selangor, Tuan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis.