HomeBeritaLawan dengan hujah, bukan dengan provokasi - Syed Saddiq

Lawan dengan hujah, bukan dengan provokasi – Syed Saddiq

MUAR: Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru kepada pihak yang membuat provokasi semasa beliau sedang memberikan ceramah di Muar untuk berlawan dengan hujah.

Untuk rekod, Syed Saddiq menerima provokasi daripada sekumpulan pemuda penunggang motosikal ketika sedang berucap di Ceramah Mega Muar semalam.

Beliau dalam ucapannya berkongsikan perjalanan masa pencapaiannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat Muar, seperti initiatif bantuan sebanyak RM50 juta dijalankan untuk pembangunan dan kebajikan.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan saya turut hadir semalam dari Pakatan Harapan (PH) dan MUDA seperti Abang Mat, Saudara Liew Chin Tong, Tuan Haji Aminonulhuda dan banyak lagi.

“Malangnya, ada provokasi yang terjadi datang dari sekumpulan ‘mat motor’ semasa saya berucap. Tetapi saya tak mahu politik kotor ini dibelenggu di Muar terutamanya datang daripada golongan muda.

“Kalau mahu lawan, kita lawan dengan hujah bukan dengan provokasi. Alhamdulilah, keadaan terkawal dengan bantuan pegawai polis, RELA dan sukarelawan. Terima kasih banyak-banyak kepada semua abang-abang polis, RELA dan sukarelawan,” katanya di Facebook hari ini.

Tambahnya, fokus beliau dalam politik masih sama seperti awalnya beliau menceburi bidang ini iaitu membersihkan ‘politik lapuk’ dan memberi tumpuan kepada politik khidmat.

“Terima kasih keluarga Muar kerana berikan kepercayaan untuk saya berkhidmat selama empat tahun. Moga saya diberi peluang untuk terus berkhidmat di Muar. Doakan saya,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor