DESA PETALING: Tiga buah kereta rentung manakala tiga lagi rosak dalam kebakaran di Amadesa Resort Condomimium Desa Petaling pada malam Deepavali.
Kejadian itu berlaku pada jam 9.40 malam di tempat letak kereta kondominium berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur mengesahkan terima panggilan kecemasan pada jam 9.40 malam seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
“Pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Negeri Sungai Besi, BBP Sri Petaling, dengan kekuatan 15 orang anggota bersama dua jentera FRT dan satu unit EMRS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Komander Operasi PBK 1, Mohd Zad Mahmod, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 9.52 malam didapati berlakunya kebakaran melibatkan enam kenderaan yang di letakkan di basement bangunan.
“Keadaan api sangat marak dan asap tebal di basement, dengan kepantasan dan kecekapan anggota bomba mengunakan satu aliran hos 200 kaki dua pancutan dari tangki jentera, pihak Bomba telah berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan lain.
“Kebakaran berjaya di kawal pada jam 10 malam dan padam sepenuhnya jam 10.35 malam. Tiada mangsa yang terlibat. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.