HomeGlobalVietnam, Asean komited untuk mengurangi kemiskinan, keselamatan makanan

Vietnam, Asean komited untuk mengurangi kemiskinan, keselamatan makanan

 

 

NEW YORK: Vietnam menekankan komitmen negara itu dan ASEAN untuk mengurangi kemiskinan, menangani isu keselamatan makanan dan memastikan pembangunan pertanian mampan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Ekonomi dan Kewangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 di New York pada Rabu.

Duta Besar Dang Hoang Giang, Wakil Tetap Vietnam ke PBB, ketika berucap pada mesyuarat itu, menegaskan bahawa pertanian merupakan sektor utama di Asia Tenggara, mewujudkan pekerjaan untuk 30 peratus penduduk dan menyumbang secara signifikan kepada usaha serantau ke arah pembasmian kemiskinan, pembangunan mampan dan mengurangkan kelaparan.

Beliau memetik statistik yang menunjukkan bahawa terdapat 670 juta orang, atau lapan peratus daripada populasi dunia, menghadapi kekurangan makanan pada 2030.

“Menghadapi cabaran ini, ASEAN terus komited untuk memperkukuh keselamatan makanan serantau melalui pelaksanaan strategi kerjasama mengenai makanan dan agro-perhutanan, Rangka Kerja Keselamatan Makanan dan Strategi Tindakan Keselamatan Makanan bagi tempoh 2021-2026 dan Rangka Kerja dan Program Tindakan Strategi Pemakanan bagi tempoh 2018-2030.

“ASEAN sangat menghargai cadangan dasar dan sokongan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta penyelaras residen dan agensi PBB di negara serantau dalam hal ini,” kata Duta Besar Giang seperti dilaporkan Agensi Berita Vietnam (VNA).

Mengenai pembasmian kemiskinan, beliau berkata, ASEAN telah mencapai kemajuan ketara dalam melaksanakan inisiatif dan strategi untuk menggalakkan kerjasama serantau dan pembangunan inklusif di kawasan luar bandar dan bandar, dan mempercepatkan pembasmian kemiskinan, termasuk Rangka Kerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 – 2025, Prospek Pembangunan ASEAN dan forum pengurangan kemiskinan dan pembangunan di bawah Komuniti Sosio-Ekonomi ASEAN.

“Dalam proses ini, menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kepimpinan korporat serta pembangunan sumber manusia dan perkongsian awam-swasta akan menjadi wadah penting untuk mewujudkan pekerjaan dan pembasmian kemiskinan,” katanya.

Beliau juga menekankan kesan perubahanan iklim terhadap rantau ini, sambil menegaskan komitmen ASEAN terhadap Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, menurut VNA.

Pada mesyuarat itu, para peserta menyatakan kebimbangan mengenai kelaparan, kemiskinan dan ketidaksamaan yang berlarutan dengan lebih 80 peratus orang miskin tinggal di kawasan luar bandar, dan COVID-19, konflik serta cabaran global yang mengancam keselamatan makanan.

Mereka menegaskan keperluan untuk mengambil langkah-langkah komprehensif dan pelbagai hala dengan penglibatan semua pihak yang berkaitan untuk menghapuskan kelaparan dan kemiskinan, memastikan keselamatan makanan, dan mengukuhkan daya tahan sistem makanan yang mampan. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor