CYBERJAYA: Inisiatif seorang pendidik untuk membantu pelajar menguasai bacaan al-Quran dengan pantas nyata meraih hasil yang lumayan apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan Inovasi Pusat Pengajian Tinggi Malaysia (PECIPTA’22).
Bekas pensyarah di Institut Perguruan Ipoh, Zakaria Nasirudin, 58, berkata, kajian yang meraih kejayaan itu berlandaskan model Pintar Tajwid Haraki (PiTaH) yang memperkenalkan pengajaran al-Quran melalui Total Physical Response (TPR).
Menurutnya, model tersebut dihasilkan bagi menangani masalah pelajar tidak minat belajar al-Quran serta masih ramai umat Islam keliru dengan istilah tajwid yang melibatkan huruf Hijaiyah bersambung dan pelbagai baris.
“Begitu juga dengan istilah tajwid al-Quran yang kesemuanya dalam bahasa Arab. Mad Jaiz Munfasil, mad wajib muttasil, ikhfa’ Syafawi, ikhfa’ halqi, Idham mutaqaribain dan sebagainya.
“Istilah-istilah ini membebankan bagi mereka yang baharu mempelajari al- Quran. Keadaan ini menyukarkan pelajar untuk ingat dan faham fungsi setiap hukum tajwid tersebut,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Justeru, Zakaria yang juga merupakan pengasas haraki itu menjelaskan pendekatan model TPR dalam bacaan al-Quran dapat membolehkan seseorang yang ‘zero’ tentang al-Quran membaca kitab suci itu dengan tajwid yang betul dalam tempoh yang singkat.
“Pendekatan TPR menggunakan pergerakan tangan dan body language bagi memudahkan kefahaman pelajar.
“Kaedah ini juga menggunakan Teknik Visual Tajwid Tepat (TVTT) mampu menyelesaikan masalah pelajar yang keliru huruf Hijaiyah bersambung dan pelbagai baris serta mengatasi masalah bacaan al-Quran bertajwid,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zakaria turut memaklumkan kejayan pembangunan model PiTaH itu turut melibatkan kerjasama 343 orang guru al-Quran, pensyarah kanan Universiti Awam Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Malahan, kini model berkenaan diolah dalam bentuk buku yang berjudul Asas Al-Quran Kaedah Haraki (BAQH).
“Buku ini mengandungi 33 video yang boleh dilihat menggunakan QR Code bagi memudahkan pelajar mengulangkaji dan buat latihan apa yang telah dipelajari,” ujarnya.