HomeBeritaPolitikBN buat laporan polis, sangkal surat akujanji ‘palsu’

BN buat laporan polis, sangkal surat akujanji ‘palsu’

 

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini membuat satu laporan polis mengenai penularan satu surat berkaitan aku janji ditandatangani kesemua calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Laporan tersebut dibuat oleh pegawai khas kepada penyandang Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah, Datuk Azizan Md Zin di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sekitar jam 3 petang tadi.

Menurut Azizan, laporan itu dilakukan bagi menyangkal fitnah segelintir pihak yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi BN dan UMNO.

“Tujuan saya buat laporan untuk menyatakan kepada rakyat surat aku janji ini satu fitnah kepada UMNO dan BN serta juga untuk menjatuhkan imej Shamsul yang dilihat sebagai orang presiden.

“Jadi saya tampil sebagai pegawai Shamsul untuk menyatakan surat aku janji ini adalah fitnah,” katanya.

Terdahulu, tular dokumen dengan kepala surat UMNO memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dan Ahmad Maslan, selepas pengumuman rasmi calon BN pada Selasa.

Antara kandungan yang tertulis dalam aku janji itu adalah ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Author

Pilihan Editor