HomeNiagaBank Negara Malaysia naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus

Bank Negara Malaysia naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus

CYBERJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

BNM berkata menerusi kenyataan rasminya, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bermesyuarat pada hari ini.

“Pada mesyuarat hari ini, MPC Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

“Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus,” katanya.

Menurut BNM perkara ini berkaitan dengan ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Jelasnya, kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Tambahnya, tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat serta harga komoditi yang tinggi meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, banyak bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah bagi menguruskan tekanan inflasi. Khususnya, pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang terus agresif dan jangkaan kadar penamat yang lebih tinggi di AS menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang terus kukuh.

“Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit.

“Pada masa hadapan, prospek pertumbuhan global akan terus menghadapi rintangan daripada keadaan kewangan yang lebih ketat berikutan inflasi yang lebih tinggi di ekonomi utama serta cabaran-cabaran dalam negeri di China,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor