KUCHAI LAMA: Kempen calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Seputeh dari Gerakan ‘tersekat’ selepas dihalau dari bilik gerakan yang bertempat di Desa Sri Petaling Condo di sini, Ahad lalu.
Beliau pada awalnya mendapat persetujuan penduduk, namun setelah lima hari beroperasi, ada penduduk yang tidak mahu lokasi berkenaan dijadikan tempat kempen politik.
Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.
Selain dihalau, calon Gerakan itu, Wong Yee Yeng sebenarnya hanya menerima khabar beliau dicalonkan di Parlimen terbabit saat akhir, sehari sebelum penamaan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Yee Yeng yang juga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, gelangang tenis kondominium itu dijadikan bilik gerakannya sejak hari penamaan calon, namun beliau dihalau keluar setelah tidak mendapat kebenaran penghuni kondo berkenaan.
“Ini (gelanggang tenis) bilik gerakan saya sejak hari penamaan calon.
“Tiba-tiba kelmarin saya dimaklumkan sudah tidak boleh teruskan bilik gerakan ini. Penghuni sini tak benarkan, saya terpaksa roboh.
“Saya sedih, lagi seminggu PRU15, bilik gerakan saya sudah tutup, di mana saya boleh buat kerja kempen lagi? Saya rayu bantu saya beri cadangan di mana saya boleh buka khemah lagi?” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini pada Ahad.
Kerusi Parlimen Seputeh P122 disandang oleh Teresa Kok, calon DAP, dan berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Lee Kah Hinh; dua calon Bebas, Choy San Yeh dan Lee Wai Hong serta Yee Yeng.
Pada pilihan raya kali ini, Parlimen Seputeh meliputi 124,805 pengundi berdaftar.