JOHOR BAHRU: Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’Gu Bard dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran dalam laman Facebook miliknya, ketika tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (A) (1) Akta Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia itu.
“Pada 17 November lepas, kita telah menerima laporan berkenaan satu hantaran yang dibuat dalam (laman profil) Facebook Che’GuBard Original susulan itu, kita telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (A) (1) Akta Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Lelaki berkenaan akan hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Semalam, Che’Gu Bard, 44, menerusi hantaran di laman Facebooknya mengatakan polis membuka kertas siasatan ke atasnya berhubung dakwaannya berkaitan perlombongan emas, perlombongan pasir selain beberapa perkara mengenai bagaimana khazanah Mersing yang dipunggah keluar dan memberi impak negatif kepada penduduk di daerah berkenaan. – BERNAMA