HomeBeritaIsu fitnah Anwar PM didalangi Israel antara yang dilaporkan PH

Isu fitnah Anwar PM didalangi Israel antara yang dilaporkan PH

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) di bawah Biro Mobilisasi PH dan Biro Mobilisasi Amanah memfailkan laporan polis berhubung tiga isu fitnah yang dilemparkan pihak Perikatan Nasional (PN) dan PAS kepada PH.

Laporan polis tersebut selesai dibuat oleh pihak PH sekitar jam 12 pagi pada Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara yang dilaporkan PH kepada pihak polis ialah isu kenyataan berbaur hasutan di media sosial menyatakan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi pihak Israel.

Selain itu, isu kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkiaskan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai pengadil bola sepak.

Seterusnya, isu kenyataan Calon PN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Azman Nasrudin yang mendakwa kerajaan dibentuk ketika ini adalah ‘kerajaan zina’.

PH turut memfailkan laporan polis berhubung isu perbelanjaan RM600 bilion ketika zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia.

Pengarah Biro Mobilisasi PH dan AJK Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi, berharap agar pihak PN dan PAS menerima kerajaan yang diputuskan oleh YDPA.

Beliau berkata sepatutnya sekarang semua pihak memberi tumpuan dan perhatian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan negara pasca PRU15.

“Kita tolaklah politik perkauman, politik kebencian, politik agama, politik adu domba.

“Sebab masa sekarang ini adalah untuk kita bina negara, sekarang ini masalah negara kita, masalah ekonomi, masalah orang tidak ada kerja, masalah harga barang naik, pelabur meninggalkan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu turut menyuarakan harapannya kepada rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kepada parti-parti politik pembangkang, jadilah pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti, tegurlah kepimpinan kerajaan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, wakil MUDA, Siti Rahayu Baharin menetapkan pendirian MUDA hadir bersama PH membuat laporan polis itu kerana isu perpaduan sedang dimainkan.

“Isu perpaduan adalah isu yang sangat penting untuk kita lihat. MUDA sebagai parti yang memenangkan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia memandang ini sebagai salah satu punca keruntuhan dan mungkin akan membawa kepada masalah yang lebih besar di Malaysia.

“Kami juga mengambil berat tentang jumlah RM600 bilion yang tidak tahu ke mana perginya memandangkan ini adalah penting untuk kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia secara amnya dan juga pendidikan kanak-kanak dapat lebih dibela dengan jumlah yang besar itu,” kata Siti Rahayu.

Author

Pilihan Editor