HomeBeritaFarid Kamil didenda RM5,000 atas kes penggunaan dadah

Farid Kamil didenda RM5,000 atas kes penggunaan dadah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengenakan denda RM5,000 kepada pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari menyebabkan beliau terlepas hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan ganja pada empat tahun lalu.

Denda RM5,000 itu adalah sebagai menggantikan hukuman penjara tersebut selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara mengetepikan hukuman itu pada Rabu.

Memetik laporan Utusan, Farid Kamil diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda itu dan denda itu dibayar kaum keluarganya yang hadir mengikuti prosiding termasuk isterinya, Diana Danielle dan adiknya, Fadzil Zahari.

Perintah pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang diputuskan Mahkamah Majistret dikekalkan Hakim Kamaludin bersama-sama dengan Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Hakim Kamaludin berkata ketika membacakan keputusan, majistret yang mendengar kes tersebut tidak memberikan penjelasan konkrit menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Mahkamah berpuas hati, majistret itu tidak konsisten ketika memberi pertimbangan sewaktu menjatuhkan hukuman terhadap pelakon dan pengarah itu.

Tambah Hakim Kamaludin, majistret tersebut tidak menimbang aspek pemberatan ketika menjatuhkan hukuman contohnya sama ada tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik merayu agar mahkamah mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadap anak guamnya dan menggantikannya dengan denda RM5,000.

Hujah pasukan pembelaan yang turut dianggotai Kee Wei Lon dan Low Wei Loke ialah kepentingan awam telah dipenuhi kerana Farid Kamil sudah menjalani hukuman penjara selama satu bulan 27 hari, namun, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah agar hukuman penjara sembilan bulan dikekalkan.

Farid Kamil ketika ditemui pihak media selepas membayar denda, bersyukur dengan keputusan itu dan berterima kasih kepada barisan peguam bela yang mewakilinya.

Pelakon Remp-It 2 tersebut gembira kerana kes selesai di peringkat rayuan dan sekarang beliau boleh menumpukan perhatian kepada pengambaran filem-filem seterusnya.

“Sekarang ini saya terlibat dengan pengambaran filem berjudul ‘Anwar’ yang kini di peringkat akhir dan dijangka ditayangkan pada Februari 2023,” kata Farid Kamil.

Diana juga menzahirkan kesyukurannya dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepada suaminya serta berterima kasih kepada barisan peguam bela dan peminat yang sentiasa mendoakan mereka.

“Saya bersama Fadzil lega dengan keputusan ini, ia mengambil masa yang panjang dan akhirnya keadilan memihak kepada suami saya,” kata Diana.

Untuk rekod, Farid Kamil menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei 2019 memerintahkannya menjalani hukuman penjara sembilan bulan.

Mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, beliau didakwa di bawah pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) pada pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018 di Pejabat Narkotik Petaling Jaya.

Author

Pilihan Editor