KUALA LUMPUR: Lusa, rakyat Malaysia akan memilih, dan pastinya tempoh 48 jam yang berbaki ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon dan parti bertanding untuk terus memikat pengundi.
Tidak seperti pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, PRU ke-15 ini menyaksikan kehadiran begitu banyak parti, gabungan parti serta calon Bebas bertanding, bererti kira-kira 21.17 juta rakyat yang akan mengundi pada Sabtu ini mempunyai banyak pilihan.
Bagi pengikut setia parti, jawapan siapa yang akan dipangkah sudah ada. Bagi yang di atas pagar pula mungkin masih menelaah senarai calon di kawasan masing-masing.
Dihidangkan dengan begitu banyak pilihan, tidak boleh disangkal akan kewujudan perbezaan pendapat dan episod bermasam muka, sama ada sesama rakan, keluarga atau komuniti setempat, lantaran masing-masing pasti cuba mempertahankan ideologi politik atau calon pilihan mereka.
Mengakui akan kemungkinan itu, pemerhati politik bagaimanapun percaya masyarakat Malaysia sudah matang dan tidak akan terbawa-bawa dalam pertelagahan sehingga sanggup memutuskan hubungan persahabatan atau kekeluargaan.
RAIKAN PERBEZAAN
“Memang benar, pada satu ketika dahulu pertelagahan politik memecahbelahkan masyarakat. Keadaan ini berlaku di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Malah, ada segelintir kes, kubur pun tidak mahu campur,” imbas penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain kepada Bernama.
Tidak menolak mungkin masih ada kes terpencil, pemerhati veteran itu berpandangan umumnya pergaduhan sedemikian sudah tidak berlaku lagi sekarang kerana rakyat sudah matang.
“Dahulu rakyat memang cepat terpengaruh disebabkan hanya ada akhbar tertentu sahaja. Akan tetapi sekarang dengan pelbagai saluran mendapatkan maklumat, rakyat sudah dapat mengimbangi berita yang disebarkan. Jadi, masyarakat boleh membuat perbandingan mana yang betul dan salah,” katanya.
Namun beliau mengakui kewujudan begitu banyak gabungan politik baharu bermakna jurang perbezaan politik juga semakin besar dalam masyarakat.
Biarpun begitu, rakyat katanya perlu bersifat lebih terbuka dan meraikan perbezaan pendapat serta pilihan masing-masing.
“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi untuk rakyat memilih pemimpin yang seterusnya membentuk kerajaan. Malah, kerajaan juga membenarkan banyak parti politik untuk bertanding, dan di sini wujudnya pelbagai ruang dan pilihan untuk rakyat memilih.
“Raikanlah perbezaan, jangan memburuk-burukkan sesebuah parti jika ia (parti) bukan pilihan kita. Sekiranya hendak memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai kekurangan atau kelebihan sesuatu parti, boleh, namun perlulah ada ilmu, fakta serta hujah-hujah yang akademik.
“Dalam keluarga, jangan sesekali menggunakan provokasi atau fitnah serta tuduhan melulu kepada parti yang bukan pilihan kita,” ujarnya.
Tambah beliau, ikatan kekeluargaan juga tidak harus menjadi rapuh hanya kerana perbezaan warna bendera parti yang dipilih.
BANYAK PILIHAN CETUS PERGADUHAN
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan pula berpendapat kemunculan begitu banyak gabungan dan parti politik berpotensi meningkatkan pergaduhan dalam keluarga.
Lebih-lebih lagi mengambil kira kerancakan kempen menerusi media sosial yang bagaikan “kitab” pegangan golongan muda, walaupun ada yang tahu kebanyakan maklumat tersebut tidak lengkap termasuk tidak sahih.
Sehubungan itu kata beliau, sebaiknya elak bincang soal politik sesama ahli keluarga sekiranya diketahui ada yang mempunyai ideologi berbeza.
“Kehidupan kita kini dikuasai media sosial, dan terdapat hubungan keluarga yang terputus apabila membincangkan isu politik dalam kumpulan WhatsApp keluarga, dan kerana itu, ia sewajarnya dielakkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, konflik politik semasa pilihan raya tidak hanya berlaku dalam keluarga dan masyarakat, tetapi juga antara pemimpin parti termasuk sesama pemimpin daripada sebuah parti.
Hal ini kata Azmi tidak sepatutnya berlaku kerana ia mampu menggugat keyakinan ahli parti dan pengundi.
“Jadi, gaduh politik (dalam kalangan pemimpin dan parti) memang akan memberi kesan negatif kepada ahli parti dan penyokong yang berada di luar parti,” katanya.
Justeru katanya, walaupun tidak senada dalam aliran politik, pergaduhan dalam keluarga dan masyarakat tidak perlu dipanjangkan kerana sifat politik tidak statik, tetapi sentiasa berubah dan progresif.
Malah katanya prinsip sama harus turut dipegang oleh calon dan pemimpin politik.
“Mereka yang tewas seharusnya melupakan perbezaan fahaman dan teruskan tanggungjawab masing-masing. Bagi kerajaan serta wakil rakyat yang berada dalam kerajaan, tugas mereka adalah menggubal dasar.
“Wakil rakyat yang menang tetapi berada dalam blok pembangkang pula, tugas mereka selepas itu ialah menjadi ‘check and balance’ pada setiap dasar yang digubal kerajaan,” katanya.
Apapun pilihan yang dibuat Sabtu ini, kedua-dua pemerhati politik itu bersetuju tidak perlu berulang episod hitam yang mencemari landskap politik negara pada era 80-an. Lebih-lebih lagi November adalah Bulan Keluarga Malaysia yang sepatutnya diraikan dengan menyuburkan lagi ikatan kasih sayang. – BERNAMA