SHAH ALAM: Satu-satunya pemimpin membawa jenama ikon belia negara, Khairy Jamaluddin mengangkat generasi muda dalam kepimpinan terutama partinya, UMNO-BN.
Program Kenali Calon New-Gen BN Bersama Khairy Jamaluddin antara usaha meremajakan semula UMNO-BN supaya parti itu sentiasa kekal relevan dan diterima rakyat sepanjang masa.
“Orang nak lihat juga muka baharu dalam Barisan Nasional (BN).
“Ini menandakan satu rejuvenasi (meremajakan) dalam BN itu sahaja,” katanya kepada media ketika ditemui pada Program ‘Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin’, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Puncak Alam, semalam.
Program anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) yang dihadiri lebih 600 pelajar Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) dari Selangor.
Turut diadakan sesi bersama Ikon Selebriti yang juga pelakon, Anna Jobling dan sesi motivasi oleh Tokoh Pendidikan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Terdahulu pada hari sama, program Kenali Calon New-Gen BN Bersama Khairy Jamaluddin pada sesi siaran langsung di Facebook Khairy, menyaksikan muka baharu dan lebih segar dalam kepimpinan parti.
Panel jemputan ialah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin; calon Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman atau Tok Ben; calon Parlimen Raub, Datuk Chong Sin Woon; calon Parlimen Kuala Langat, Datuk M Mohana; calon Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan; calon Parlimen Tebrau, Nicole Wong; calon Parlimen Padang Serai, Datuk C Selvaraj dan calon Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Pada sesi itu, Khairy bertindak sebagai moderator bertanyakan beberapa soalan kepada panel jemputan termasuk harapan serta aspirasi mereka untuk rakyat dan negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Khairy berkata, generasi muda dalam BN bukan dirinya sahaja, sebaliknya ramai lagi individu yang berkaliber dan berpotensi.
“Ini hanya sikit pilihan kecil sahaja, ramai lagi yang tidak sempat kita himpunkan pada hari ini.
“Mereka ada idea dan boleh menyampaikannya dengan baik, membuktikan semuanya bukan ‘yes man’ kepada ketua, apa yang tidak betul akan diberitahu tidak betul kerana kita membawa aspirasi rakyat Malaysia,” katanya.