HomeBeritaPenduduk Puchong Prima sambut baik program isi minyak motor percuma BN

Penduduk Puchong Prima sambut baik program isi minyak motor percuma BN

PUCHONG: Program isi minyak motor percuma yang diadakan oleh BN Puchong pada Khamis petang menerima sambutan baik penduduk di kawasan Puchong Prima yang menunggang motosikal.

Salah seorang penduduk, Abu Hajar Mat Dan berkata, dia bersetuju progam ini diadakan kerana sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban anak-anak muda kawasan.

“Program ini bagus untuk menyenangkan anak-anak muda yang menunggang motosikal di sini.

“Dengan keadaan sekarang anak-anak muda yang motosikalnya kekurangan minyak, jadi program hari ini dapat membantu mereka ke sana sini.

“Ini menunjukkan BN menyokong penuh anak-anak muda,” kata Abu Hajar ketika ditemui MEDIA VARIASI pada program yang diadakan di Stesen Minyak Petronas Puchong Prima.

Selain itu, seorang penduduk yang juga merupakan seorang penghantar, Alif Syazwan turut memuji program ini.

“Program macam ini bagus untuk macam kami penghantar-penghantar dan masyarakat di Puchong.

“Saya juga berharap kepada bakal Ahli Parlimen di sini, agar kawasan Puchong ini dapat dinaiktarafkan lagi,” kata Alif.

Sementara itu, seorang penduduk, Hamiezi Abd Ghani menggambarkan program ini terbaik dan berharap agar rakyat Puchong akan mengundi BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

“Program macam ini memang terbaik, jadi saya harap semua di Puchong bolehlah undi BN untuk kali ini, PRU15. BN memang terbaik.

“Memang cantiklah program macam ini, bagi minyak motor percuma, dibuat untuk anak-anak muda,” kata Hamiezi.

Ahli Jawatan Kuasa (AJK) UMNO Bahagian Puchong, Haimie Abd Ghani menyifatkan program sebegini sebagai salah satu langkah prihatin BN kepada rakyat terutamanya anak-anak muda.

“Ramai-ramai kita dapat isi minyak motor percuma ini. Alhamdulillah, maknanya kita kurangkan sedikit beban pada rakyat.

“Saya berharap semoga anak muda di sini menyokong BN dan rakyat di kawasan Parlimen Puchong memberi kepercayaan kepada BN untuk mereka mentadbir semula,” ujar Haimie penuh harapan.

Pada masa sama, Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader sempat menyantuni penduduk di Puchong Prima yang hadir program itu.

Author

Pilihan Editor