HomeBeritaPakar IT lebur ribuan ringgit kena 'scam' penyedia kereta sewa

Pakar IT lebur ribuan ringgit kena ‘scam’ penyedia kereta sewa

CYBERJAYA: Dunia moden yang serba canggih sememangnya memudahkan banyak urusan namun, tidak dinafikan kebarangkalian menjadi mangsa ‘scam’ juga kian berleluasa.

Seperti dikongsikan oleh seorang pakar IT yang mahu dikenali sebagai Arif, 52, dalam sekelip mata, dia mengalami kerugian ribuan ringgit.

Semuanya bermula dengan satu klik sahaja di mana ketika itu, dia sedang mencari kereta sewa menerusi platform Facebook.

Katanya, tidak wujud syak wasangka pada awalnya kerana segala interaksi berhubung urusan sewaan dengan pihak terbabit berjalan lancar.

Menerusi perbualan di telefon, pihak berkenaan meminta Arif untuk memuat turun satu aplikasi bernama ‘ISHINSHOP’ di telefonnya bagi memudahkan urusan penyewaan.

Tanpa berfikir panjang, Arif menuruti permintaan itu atas faktor prosedur agensi.

Namun, ketika Arif mahu membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM20 menerusi aplikasi tersebut, sistem transaksi tergendala secara tiba-tiba.

“Saya ingin membuat pembayaran FPX melalui RHB Bank dan telah memasukkan nama serta kata laluan tetapi menunjukkan sistem tergendala.

“Kemudian, saya pergi ke Public Bank untuk membuat bayaran tetapi sekali lagi menunjukkan sistem tergendala selepas memasukkan nama dan kata laluan.

“Tidak lama kemudian, saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) dari RHB Bank memberitahu satu transaksi telah berjaya dibuat kepada satu akaun bernama Mobiversa Sdn Bhd,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Malahan, semakan terhadap akaun Public Bank turut didapati satu transaksi telah berjaya.

Arif amat terkejut apabila mendapati kesemua wang dalam akaun bank telah lesap selepas insiden terbabit.

Dia kemudiannya membuat laporan polis atas kejadian yang menimpa dirinya bagi rujukan bank untuk membuat siasatan.

Author

Pilihan Editor