HomeBeritaMenjelang hari mengundi PRU15, 33 PPS kini dibuka akibat banjir

Menjelang hari mengundi PRU15, 33 PPS kini dibuka akibat banjir

CYBERJAYA: Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini, Malaysia sekali lagi ditimpa musibah apabila hujan lebat berterusan malam tadi membuatkan beberapa kawasan mula dinaiki air.

Setakat jam 9 pagi hari ini, sebanyak 33 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan lebih 3,289 orang mangsa banjir dari tujuh buah negeri di Malaysia.

Menurut laporan daripada portal InfoBencanaJKM, tujuh negeri yang terkesan itu adalah Johor (5 PPS), Kelantan (7 PPS), Perak (7 PPS), Melaka (1 PPS), Selangor (11 PPS), Sarawak (1 PPS) dan Pahang (1 PPS).

Berdasarkan laporan itu, Selangor yang merekodkan lebih 177 keluarga kini ditempatkan ke 11 PPS iaitu di Kuala Selangor (SMK Jeram), Sabak Bernam (Dewan Sri Nakhoda dan Dewan Simpang 5), Subang Jaya (Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Seksyen 10 Putra Height dan Masjid Putra Heights), Hulu Langat (SK Ulu Semenyih), Sepang (Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai Dengkil) dan Klang (Dewan Masjid An-Naim Kg Jalan Kebun).

Di Kelantan pula membabitkan 1,483 mangsa daripada 509 keluarga perlu berpindah ke tujuh PPS yang terletak di Pasir Mas manakala lima PPS yang beroperasi di Johor kini menempatkan hampir 80 keluarga daripada 325 mangsa sekitar Segamat, Kluang dan Tangkak.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu dan sentiasa peka dengan keadaan semasa.

 

Author

Pilihan Editor