HomeBeritaPolitikRintihan belia, hendak dapat sebiji bola pun susah - Nurul Fadzilah

Rintihan belia, hendak dapat sebiji bola pun susah – Nurul Fadzilah

BUKIT DINDING: Hampir 14 hari semua jentera dan calon parti gigih berkempen untuk parti masing-masing bagi penentuan pemimpin manakah menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Peluang ini diambil bukan sahaja untuk mendekati rakyat, tetapi juga pengumpulan maklumat setiap isu rakyat yang terpendam sebelum ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaludin turut mendengar denyut nadi dan rintihan belia yang berasa terpinggir di bawah pentadbiran terdahulu.

Beliau yang kini merupakan peguam sivil dan peguam syarie, juga bekas pengacara TV Alhijrah dan bekas pensyarah di UIA, itu mengambil iktibar luahan itu untuk menambah baik tampuk kepimpinan jika terpilih pada PRU15 nanti.

“Rakyat mengadu wakil rakyat Setiawangsa tidak turun padang, rakyat sukar jumpa ahli Parlimen sebelum ini.

“Inisiatif pertama jika saya menang, saya atau pasukan saya akan turun hadir beri komitmen pada setiap acara rasmi dan tidak rasmi bagi mendekati rakyat, dengar suara rakyat untuk lebih efektif, itu adalah inisiatif yang sangat bagus.

“Isu belia, mereka agak sukar mendapat sebarang peruntukan, hendak dapat bola sebiji pun susah, isu belia tidak boleh dipandang enteng, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Fadzilah yang kini Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia hadir ke diskusi rakyat untuk menyelamatkan Bukit Dinding atau” Save Bukit Dinding”

Turut hadir, calon PKR yang juga penyandang kerusi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon Pejuang, Bibi Sunita Sakandar Khan.

Mereka merupakan penentang terdekat Nurul Fadzilah bagi merebut kerusi di Parlimen itu pada PRU15 yang menyaksikan perlawanan enam penjuru.

Satu lagi calon iaitu dari Barisan Nasional, Datuk Seri Izudin Ishak, tidak hadir ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Nurul Fadzilah memiliki hasrat untuk mengadakan program karnival sihat dan sukses besar-besaran dua kali setahun untuk belia di Setiawangsa.

“Program ini akan ada kolaborasi dengan kerajaan dan bukan kerajaan bagi memberi peluang pekerjaan kepada yang mahu cari kerja.

“Manfaatnya, untuk pembangunan sukan dan belia.

“Selain itu, saya berhasrat untuk menyediakan satu klinik bantuan guaman bagi membantu wanita teraniaya serta beri khidmat kaunseling menerusi program Setia Wanita Prihatin, ” katanya.

Pada PRU14, sejumlah 72,136 pemilih berdaftar di Parlimen Setiawangsa mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Kerusi Parlimen itu dimenangi penyandang daripada PKR, Nik Nazmi dengan majoriti 14,372 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique yang memperoleh jumlah undi 20,099 dan calon PAS, Ubaid Abd. Akla yang meraih 6,282 jumlah undi.

Author

Pilihan Editor