KUALA LUMPUR: Rakyat diseru memilih wakil rakyat (YB) Yang Berkhidmat, Yang Berkerja berbanding yang bercakap lebih ketika membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Wakil rakyat yang menjalankan kerja, sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat, sekali gus menyelesaikan isu tanpa ‘banyak bunyi’, tanpa menunggu musim pilihan raya, lebih diutamakan.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani menyelar pihak yang menilai wakil rakyat hanya kerana tidak lancar menggunakan bahasa Inggeris berbanding hasil kerja seseorang wakil rakyat.
“Mereka (pengundi) perlu menilai sebaiknya bukan pada percakapan. Pilihlah yang bekerja, yang berkhidmat, bukan yang bercakap tapi tak buat kerja selesaikan isu rakyat.
“Di Parlimen bolehlah bercakap, saya pun boleh bercakap, tetapi tengok Hannah Yeoh (penyandang kerusi Segambut) Teresa Kok (penyandang kerusi Seputeh), bukan rajin turun kawasan pun,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Ramlan berkata, beliau sendiri banyak berhabis menggunakan dana sendiri membantu rakyat yang datang ke bilik gerakan BN di Bangsar, tanpa mengira latar belakang.
“Sebelum dan selepas 2018, saya tak berhenti bekerja untuk rakyat, pejabat (bilik gerakan) ini masih beroperasi walaupun tak ada sumber daripada kerajaan, secara berterusan saya bekerja sampai masa bubar Parlimen pun saya tak tahu saya akan dicalon semula,” katanya.
Sementara itu, Ramlan yang juga mantan pemain bola sepak kebangsaan berkata, beliau sudah lali dengan tawaran berbentuk ‘ganjaran’ sepanjang berada dalam arena sukan dan politik, namun menolak kerana berpegang prinsip berbakti untuk rakyat dan negara.
“Saya ada diberi tawaran untuk tidak bertanding di sini, ada yang beri duit, jawatan berserta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Analogi mudahnya, hutan dah ditebang cantik, nak masuk mudahlah, sebab dia tahu ‘base’ kita dah kuat.
“Tapi saya tolak demi rakyat, kerana saya hanya fokus bekerja untuk rakyat,” katanya mengulas mengenai kerusi panas P121 itu,” katanya.
Lembah Pantai dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang juga penyandang kerusi berkenaan, Ramlan (BN), Fauzi Abu Bakar dari Perikatan Nasional (PN) dan Dr Noor Asmah Mohd Razalli dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada hari mengundi PRU15.