HomeBeritaRosni teruskan legasi Noh Omar di Tanjong Karang

Rosni teruskan legasi Noh Omar di Tanjong Karang

TANJONG KARANG: Calon Bebas, Mohd Rosni Mastol mahu menyambung agenda Tan Sri Noh Omar menerusi manifesto yang ditawarkan untuk rakyat Parlimen Tanjong Karang.

Meneruskan mandat tradisi rakyat Parlimen Tanjong Karang yang sebelum ini diamanahkan kepada Noh, Mohd Rosni menawarkan enam agenda utama.

Sebagai anak jati Tanjong Karang yang berkhidmat dalam politik selama 25 tahun, Mohd Rosni kecewa apabila Noh tidak dicalonkan semula untuk Parlimen P095.

“Justeru, saya mahu meneruskan legasi Tan Sri Noh menerusi enam agenda dalam manifesto dengan mengutamakan aspek sosioekonomi rakyat Tanjong Karang dan mengekalkan perkampungan tradisional di sini.

“Enam intipati agenda itu ialah pemilikan perumahan rakyat, dan meluaskan perkampungan tradisional sebagai identiti Tanjong Karang; bantuan pendidikan anak Tanjong Karang; dan pertanian utama kontan dan nelayan.

“Selain itu, memperkasa capaian internet dan kekuatan isyarat telefon mudah alih; membela usahawan tempatan; membangunkan prasarana kilang, agropelancongan untuk memberi pekerjaan kepada penduduk dan kekal di desa,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Mohd Rosni yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tanjong Karang juga melebarluaskan slogan manifesto Satu undi calon Bebas, Satu undi tolak fitnah politik, kerana menolak maklumat palsu dan merosakkan negara.

Selain Mohd Rosni, kerusi P095 bakal ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd Yusof; Siti Rahayu Baharin Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Bersatu) dan Azlan Sani Zawawi (GTA).

Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak PRU9 pada 1995.

Pada PRU14, Noh mengalahkan calon BERSATU, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan Nor Az Azlan Ahmad mewakili PAS dengan majoriti tipis 1,970.

Bagaimanapun, PRU15 kali ini menyaksikan kejutan yang dibuat BN untuk Parlimen P095 dengan menampilkan muka baharu iaitu Habibah.

Author

Pilihan Editor