SERI KEMBANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mendapat tonik terbaik ketika mula memasuki fasa kempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mendapat sokongan padu dari jentera pusat daerah mengundi (PDM) MCA kawasan Seri Kembangan dalam misi merampas semula kerusi Parlimen Puchong daripada DAP.
Ketua MCA Parlimen Puchong, Datuk Liew Yuen Keong berkata, beliau yakin komitmen jentera serta kualiti calon BN yang diletakkan di kawasan terbabit akan memikat hati pengundi Puchong pada 19 November ini.
“Bagi di DUN Seri Kembangan, jentera MCA kawasan Puchong sudah bersedia untuk berkempen pada PRU15 kali ini. Mood jentera sungguh bersemangat untuk memasuki medan peperangan.
“Gerak kerja kita akan dipertingkatkan untuk memenangkan calon kita, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader. Jentera kita perlu ada misi yang cukup baik dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk memperkenalkan calon kita.
“Calon DAP di kawasan Parlimen bagi PRU15 iaitu pesaing dan musuh utama kita meminta pengundi di Seri Kembangan memberi peluang kepada DAP untuk mengekalkan kerusi Parlimen Puchong. Peluang itu diminta untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dan banjir di kawasan Seri Kembangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Calon Barisan Nasional (BN) bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seri Kembangan pada hari kedua kempen PRU15 di pejabat MCA Bahagian Puchong, di sini pada Ahad.
Beliau juga menempelak kempen yang dibawa calon Pakatan Harapan (PH), Yeo Bee Yin yang meminta pengundi Puchong memberi mandat kepada DAP bagi menyelesaikan isu setempat sedangkan hanya calon yang dipertaruhkan BN ini yang mampu menyelesaikan masalah isu tempatan rakyat Puchong.
“Sungguh pelik permintaan calon DAP ini memandangkan mereka memerintah negeri Selangor selama 15 tahun, kuasa ada pada mereka tetapi masih tidak mampu menyelesaikan jadi malulah mahu jadi wakil rakyat di Puchong.
“Jadi kita jentera kena kerja kuat untuk memenangkan calon kita, hanya beliau sahaja yang mampu menyelsaikan isu-isu setempat dengan pengalaman dan kualiti kepimpinan beliau serta track record yang cemerlang dalam aktiviti kebajikan,” ujarnya.