HomeBeritaPolitikSaya akan buka pusat khidmat sekiranya menang di Puchong - Syed Ibrahim

Saya akan buka pusat khidmat sekiranya menang di Puchong – Syed Ibrahim

SERI KEMBANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mengemukakan tawaran bagi membuka pusat perkhidmatan buat rakyat bagi menyelasaikan isu-isu tempatan sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen Puchong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Syed Ibrahim, perancangan itu dibuat setelah menerima maklum balas dari pengundi yang mahukan calon sepertinya menyelesaikan masalah setempat yang gagal dibawa oleh wakil rakyat yang terdahulu.

“Saya amat memahami ada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat Puchong. Saya sudah menyantuni ramai pengundi tidak kira dari bangsa Melayu, Cina dan India, mereka telah meluahkan kepada saya. Mereka memberi keyakinan kepada saya sebagai calon mereka yang menuntut perubahan.

“Setiap ahli Parlimen diberikan peruntukan RM3.5 juta setiap tahun, tetapi di sebuah pasar dalam kawasan Parlimen, toilet begitu usang memandangkan wakil rakyat sebelum ini tidak tampil untuk menyelesaikannya. Ini aduan dan luahan masyarakat Puchong.

“Kalau saya menang, saya tetap akan tinggal di kawasan Puchong dan membuka bilik perkhidmatan yang akan beroperasi pada setiap hari termasuk hari minggu Sabtu dan Ahad sebagai satu saluran buat rakyat bagi menyelasaikan isu mereka,” katanya ketika berucap pada majlis bersama jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di pejabat MCA Bahagian Puchong.

Beliau yang juga merupakan Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), melahirkan keazaman untuk meneruskan legasi perkhidmatan cemerlang MCA di kawasan Puchong berdasarkan pengalaman dan track record cemerlang beliau dalam aktiviti kebajikan.

“Sekiranya saya menang janji saya akan bersama dengan rakyat dan anda semua ini parti MCA Puchong, ini saya jamin atas semangat setiakawan dalam BN.

“Kalau kita dah beri jaminan, itu maknanya janji. Kalau kita tidak tunai menjadi satu dosa besar. Jadi bila saya nak ungkapkan jaminan ini saya menjadi takut. Jadi saya tahu, MCA Puchong telah banyak berjasa membawa pembangunan kepada rakyat Puchong khususnya di kawasan Seri Kembangan ketika era Datuk Liew Yuen Keong menjadi ADUN kawasan dari tahun 1995 hingga 2008.

“Jadi saya ingin meneruskan legasi ini, saya berharap kita boleh bekerjasama dengan mendapat kemenangan di Parlimen Puchong. Kita akan rampas Puchong dari DAP ini.

“Saya ingin teruskan sejarah MCA Puchong membantu masyarakat setempat di sini, tetapi kita perlu kuasa semula, baru kita boleh teruskan perjuangan kita untuk rakyat,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor