HomeBeritaPolitikSaya dah cuba yang terbaik tapi saya tak cukup bagus – Khairy...

Saya dah cuba yang terbaik tapi saya tak cukup bagus – Khairy Jamaluddin

 

CYBERJAYA: “Saya dah cuba yang terbaik tetapi saya tidak cukup bagus,” kata bekas calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Ungkapan itu merujuk kepada kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila terpaksa akur dengan pilihan rakyat yang memberi mandat kepada pesaingnya dari Pakatan Harapan, Ramanan Ramakrishnan.

Tambah Khairy yang dikenali dengan panggilan KJ, pilihan raya merupakan platform asas demokrasi yang jelas memberi petanda kepada ahli politik sama ada mereka cukup baik dalam berkhidmat atau sebaliknya.

“Jika orang suka anda cukup atau tidak. Itu adalah peraturan dan anda perlu menerimanya apabila orang tidak fikir anda cukup bagus untuk mewakili mereka.

“Adakah ini penghujung jalan? Saya agak pasti bukan sebegitu. Tetapi saya ingin merenung perkara ini sebelum saya memikirkan apa yang saya perlu lakukan seterusnya.

“Sebenarnya, saya letih. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat sejak saya diminta menguruskan pandemik. Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada Covid-19,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Tambah Khairy, peluang untuk berkhidmat pada negara dalam fasa kritikal merupakan satu keistimewaan yang besar buat dirinya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan itu turut berharap barisan pemimpin yang baharu dapat memberi jaminan terhadap tanah air ini khususnya dalam aspek kestabilan dan kemakmuran negara.

“Masih terdapat ketidaktentuan yang luar biasa di negara ini. Saya berharap orang yang telah dipilih bertindak dengan penuh hikmah dan belas kasihan. Negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih daripada sebelumnya. Saya doakan anda semua yang terbaik.

“Saya menantikan Piala Dunia di televisyen,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor